Antarabangsa
Vape di Singapura: Warga asing boleh didenda, hilang pas dan dihalang masuk semula
- “Seperti larangan dadah dan gula-gula getah, kini vape juga jelas dilarang. Jangan bawa masuk, buang sahaja,” – Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung
- Ia akan dikuatkuasakan pada 1 September ini.
- Di bawah peraturan baharu ini, pesalah bawah umur 18 tahun akan dikenakan denda $500 (kira-kira RM1,750) bagi kesalahan kali pertama memiliki atau menggunakan vape. Bagi dewasa, denda dinaikkan kepada $700 (RM2,450) berbanding $500 sebelum ini.
SINGAPURA – Warga asing yang ditangkap menghisap rokok elektronik (vape) di Singapura berdepan tindakan tegas termasuk pembatalan pas, pengusiran serta larangan memasuki negara itu semula, apabila langkah penguatkuasaan lebih ketat mula dikuatkuasakan bermula 1 September ini.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 28 Ogos, warga asing yang didapati memiliki vape akan dikenakan denda serta peranti mereka dirampas.
Pesalah berulang bakal menerima hukuman lebih berat, termasuk larangan memasuki Singapura bagi pemegang Pas Lawatan Jangka Pendek yang melakukan kesalahan sama lebih daripada sekali.
Rayuan akan dipertimbangkan secara kes demi kes, jelas pihak berkuasa.
Langkah ini sebahagian daripada usaha kerajaan Singapura membendung gejala penggunaan vape yang semakin berleluasa.
“Bagi mereka yang masih muda atau warga asing dengan pas jangka panjang, sedikit kelonggaran mungkin diberikan untuk kesalahan kali pertama. Namun, bagi kesalahan kali kedua, mereka perlu meninggalkan negara ini,” tegas Menteri Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam dalam sidang media.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata, pihaknya turut mempertingkat kesedaran di Lapangan Terbang Changi dengan penambahan pengumuman serta tong khas berwarna merah bagi pelancong yang ingin membuang vape.
“Seperti larangan dadah dan gula-gula getah, kini vape juga jelas dilarang. Jangan bawa masuk, buang sahaja,” tegasnya.
Di bawah peraturan baharu ini, pesalah bawah umur 18 tahun akan dikenakan denda $500 (kira-kira RM1,750) bagi kesalahan kali pertama memiliki atau menggunakan vape, meningkat daripada $300 sebelum ini.
Bagi dewasa, denda dinaikkan kepada $700 (RM2,450) berbanding $500 sebelum ini.-The Merdeka Times