Antarabangsa
Setiausaha Kesihatan AS henti dana vaksin mRNA, Dakwa banyak risiko
- Langkah ini akan menjejaskan 22 projek yang dikendalikan syarikat farmaseutikal utama, termasuk Pfizer dan Moderna, bagi membangunkan vaksin terhadap selesema burung dan virus lain.
- Setiausaha Kesihatan AS, Robert F Kennedy Jr, yang dikenali sebagai skeptik vaksin menarik balik pembiayaan tersebut dengan alasan teknologi mRNA membawa lebih banyak risiko berbanding manfaat untuk virus pernafasan ini.
- “Data menunjukkan vaksin ini gagal memberikan perlindungan berkesan terhadap jangkitan pernafasan atas seperti COVID dan selesema,” katanya.
WASHINGTON – Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat (HHS) merancang untuk membatalkan pembiayaan sebanyak AS$500 juta bagi pembangunan vaksin mRNA yang bertujuan melawan virus yang menyebabkan penyakit seperti selesema dan Covid-19.
Langkah ini akan menjejaskan 22 projek yang dikendalikan syarikat farmaseutikal utama, termasuk Pfizer dan Moderna, bagi membangunkan vaksin terhadap selesema burung dan virus lain.
Setiausaha Kesihatan AS, Robert F Kennedy Jr, yang dikenali sebagai skeptik vaksin, mengumumkan beliau menarik balik pembiayaan tersebut dengan alasan teknologi mRNA membawa lebih banyak risiko berbanding manfaat untuk virus pernafasan ini.
Doktor dan pakar kesihatan mengkritik pandangan Kennedy yang sejak sekian lama meragui keselamatan serta keberkesanan vaksin dan juga pendiriannya terhadap dasar kesihatan.
Dalam kenyataannya, Kennedy berkata pasukannya telah menilai sains, mendengar pakar, dan bertindak.
“Data menunjukkan vaksin ini gagal memberikan perlindungan berkesan terhadap jangkitan pernafasan atas seperti COVID dan selesema,” katanya yang dilaporkan BBC.
Beliau juga menyatakan bahawa jabatan tersebut akan menyalurkan dana kepada platform vaksin yang lebih selamat dan lebih menyeluruh, yang kekal berkesan walaupun virus bermutasi.
Berbeza dengan vaksin yang menggunakan virus tidak aktif untuk mencetuskan tindak balas imun, vaksin mRNA berfungsi dengan mengajar sel bagaimana menghasilkan protein yang boleh mencetuskan tindak balas imun.
Kennedy turut mendakwa vaksin mRNA boleh menggalakkan mutasi baharu dan sebenarnya memanjangkan pandemik kerana virus sentiasa bermutasi untuk mengelakkan kesan perlindungan vaksin.
Namun, pakar kesihatan menegaskan bahawa virus akan terus bermutasi tanpa mengira sama ada terdapat vaksin untuknya atau tidak.
Pengarah Pusat Pendidikan Vaksin di Hospital Kanak-kanak Philadelphia, Dr Paul Offit menegaskan vaksin memainkan peranan penting dalam mencegah jangkitan teruk daripada virus seperti Covid-19.
Dr Offit, yang mencipta vaksin rotavirus, memberi amaran bahawa pembatalan dana ini boleh meletakkan AS dalam kedudukan yang lebih berbahaya untuk menghadapi sebarang pandemik pada masa depan. – The Merdeka Times