Antarabangsa
Penumpang Yahudi dakwa makanan kosher penerbangan Iberia ditulis slogan ‘Free Palestine’
- Menurut kenyataan yang dimuat naik oleh DAIA (Delegación de Asociaciones Israelitas Argentinas) di platform X, selain insiden tersebut, beberapa penumpang Yahudi lain turut menemui singkatan “FP” yang dipercayai merujuk kepada “Free Palestine” pada bekas makanan kosher mereka.
- Sehingga kini, Iberia Airlines belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut
BUENOS AIRES – Sebuah pertubuhan Yahudi utama di Argentina mendakwa seorang penumpang Yahudi mendapati makanan kosher yang disajikan kepadanya dalam penerbangan Iberia Airlines dari Buenos Aires ke Madrid bertulis slogan “Free Palestine” (Bebaskan Palestin).
Menurut kenyataan yang dimuat naik oleh DAIA (Delegación de Asociaciones Israelitas Argentinas) di platform X, selain insiden tersebut, beberapa penumpang Yahudi lain turut menemui singkatan “FP” yang dipercayai merujuk kepada “Free Palestine” pada bekas makanan kosher mereka.
Walau bagaimanapun, DAIA tidak menyatakan tarikh sebenar kejadian yang berlaku dalam penerbangan Iberia Airlines IB0102 itu.
DAIA berkata, pihaknya telah menghubungi syarikat penerbangan berkenaan dan menuntut penjelasan serta tindakan segera terhadap insiden yang disifatkan sebagai tidak sensitif dan berpotensi membangkitkan kebimbangan keselamatan dalam kalangan komuniti Yahudi.
Sehingga kini, Iberia Airlines belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.-The Merdeka Times