Terkini
Peguam sahkan ada kecederaan pada jasad Zara Qairina
- Peguam, Shahlan Jufri yang berada di bilik bedah siasat selama lapan jam tanpa makan dan minum bagi menyaksikan keseluruhan prosedur yang dijalankan pasukan forensik, berkata beliau tidak mengingati jumlah sebenar kecederaan yang dialami, namun mengesahkan terdapat kecederaan termasuk patah.
- “Sudah tentu ada kecederaan, memang ada kecederaan. Kecederaan seperti yang kamu tahu di media sosial, begitulah. Yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan dan ia sulit,” katanya.
KUALA LUMPUR — Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengesahkan memang terdapat kecederaan pada tubuh remaja berusia 13 tahun itu, seperti yang tersebar di media sosial, hasil pemerhatiannya sepanjang proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Shahlan Jufri yang berada di bilik bedah siasat selama lapan jam tanpa makan dan minum bagi menyaksikan keseluruhan prosedur yang dijalankan pasukan forensik, berkata beliau tidak mengingati jumlah sebenar kecederaan yang dialami, namun mengesahkan terdapat kecederaan termasuk patah.
“Sudah tentu ada kecederaan, memang ada kecederaan. Kecederaan seperti yang kamu tahu di media sosial, begitulah. Yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan dan ia sulit.
“Seperti yang tersebar di media itu, saya tidak berapa ingat jumlah kecederaan, tetapi memang ada patah, memang ada kecederaan,” katanya dipetik Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HQEI di Kota Kinabalu pada malam Ahad.
Peguam itu turut menegaskan proses bedah siasat dijalankan secara telus tanpa campur tangan pihak luar sekali gus tidak menimbulkan sebarang ketidakpuasan hati.
“Memang proses bedah siasat itu berjalan dengan telus, integriti sangat tinggi dan lancar,” tegasnya.
Pada Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan terhadap jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas dibawa ke hospital berkenaan berikutan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Sejak kejadian, pelbagai spekulasi dan teori tular di media sosial termasuk dakwaan membabitkan unsur jenayah dan buli. — The Merdeka Times