Terkini
Jabatan Peguam Negara arah kubur Zara Qairina digali semula
- AGC hari ini dilapor berkata, langkah itu bertujuan untuk memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina.
- Menurutnya, penelitian laporan siasatan awal mendapati ada keperluan untuk siasatan lanjut diambil polis demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
- “Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula (exhume) mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan ke atas jenazah,” katanya.
KUALA LUMPUR — Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan supaya kubur Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar Tingkatan 1 itu.
AGC hari ini dilapor berkata, langkah itu bertujuan untuk memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh maklumat dan bukti tambahan diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina.
Menurutnya, penelitian laporan siasatan awal mendapati ada keperluan untuk siasatan lanjut diambil polis demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
“Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula (exhume) mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan ke atas jenazah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan peguam mewakili keluarga Zara Qairina berharap polis melaksanakan penggalian semula kubur pelajar terbabit bagi menentukan punca sebenar kematiannya.
Dua peguam terbabit yang mewakili ibu Zara Qairina, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri turut berharap siasatan dilakukan pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi 16 Julai.
Sejak kejadian, pelbagai spekulasi dan teori tular di media sosial termasuk dakwaan membabitkan unsur jenayah dan buli. — The Merdeka Times