Antarabangsa
Paderi ditahan di Oxford kerana sokong Palestin
- Sebelum demonstrasi, Grote menegaskan tindakannya adalah sebagai bantahan terhadap apa yang disifatkannya sebagai genosid di Gaza oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) dengan sokongan berterusan kerajaan UK.
- “Saya bukan ahli Palestine Action tetapi saya menyokong usaha mereka mengganggu mana-mana pihak di UK yang menyediakan senjata untuk perang di Gaza,” jelasnya.
Oxford – Seorang paderi Baptist, James Grote, ditahan polis di pusat bandar Oxford selepas mengangkat sepanduk menyatakan sokongan terhadap kumpulan Palestine Action yang diharamkan kerajaan United Kingdom (UK).
Grote, dalam lingkungan usia 60-an, duduk di luar New Road Baptist Church di Bonn Square pada Ahad lalu sambil memegang papan tanda bertulis: “I oppose genocide, I support Palestine Action” (Saya menentang genosid, saya menyokong Palestine Action).
Tidak sampai lima minit, beliau ditahan oleh pihak polis atas syak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Keganasan 2000.
Jurucakap Polis Thames Valley mengesahkan penahanan itu.
“Ia berkaitan dengan satu insiden di mana seorang lelaki dilihat memegang papan tanda yang menunjukkan sokongan terhadap organisasi pengganas yang diharamkan,” katanya.
Grote kini masih ditahan untuk siasatan lanjut.
Sebelum demonstrasi, Grote menegaskan tindakannya adalah sebagai bantahan terhadap apa yang disifatkannya sebagai genosid di Gaza oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) dengan sokongan berterusan kerajaan UK.
“Saya bukan ahli Palestine Action tetapi saya menyokong usaha mereka mengganggu mana-mana pihak di UK yang menyediakan senjata untuk perang di Gaza,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Palestine Action hanya menyasarkan bangunan dan harta benda, bukan manusia, dan menolak label pengganas terhadap kumpulan itu.
“Pengeboman Gaza hingga rata itulah keganasan. Begitu juga dengan serangan Hamas pada 7 Oktober,” katanya.
Sementara itu, kumpulan Defend Our Juries yang menggerakkan kempen “Lift The Ban” mengecam tindakan kerajaan UK melabelkan Palestine Action sebagai pengganas.
Jurucakapnya berkata larangan itu membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa terhadap mana-mana kumpulan yang tidak disukai kerajaan, termasuk organisasi keadilan iklim, kesatuan pekerja atau kumpulan hak orang kurang upaya.
Awal bulan ini, polis menahan 521 orang di Parliament Square kerana mengangkat sepanduk menyokong organisasi yang diharamkan itu. -The Merdeka Times