Antarabangsa
Kiblat ekonomi baharu Aceh kini ke Kuala Lumpur, Bukan lagi Jakarta
- Gabenor Aceh, Muzakir Manaf menegaskan bahawa Aceh kini menjejaki pembukaan laluan laut Lhokseumawe – Pulau Pinang, yang akan menghidupkan kembali hubungan dagang lama dengan Malaysia.
- “Kalau dulu kita berkiblat ke Medan dan Jakarta, kini kita berkiblat ke Kuala Lumpur dan Penang,” katanya lantang.
- Beliau yakin langkah ini akan membuka akses lebih luas kepada pasaran Malaysia untuk komoditi utama Aceh seperti kopi, hasil laut, dan rempah-ratus, sekali gus memberi lonjakan positif kepada ekonomi negeri itu.
Aceh Utara – Gabenor Aceh, Muzakir Manaf atau lebih dikenali sebagai Mualem, menegaskan bahawa arah pembangunan dan keterhubungan Aceh kini lebih tertumpu ke kawasan Melayu di Malaysia, khususnya Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, berbanding Jakarta.
Perkara itu disampaikan ketika beliau merasmikan Aceh Perkusi 2025 di Monumen Samudera Pasai, Gampong Beuringen, Aceh Utara, pada Jumaat lalu.
Dalam ucapannya, Mualem menegaskan bahawa Aceh kini menjejaki pembukaan laluan laut Lhokseumawe – Pulau Pinang, yang akan menghidupkan kembali hubungan dagang lama dengan Malaysia.
“Kalau dulu kita berkiblat ke Medan dan Jakarta, kini kita berkiblat ke Kuala Lumpur dan Penang,” katanya lantang.
Beliau yakin langkah ini akan membuka akses lebih luas kepada pasaran Malaysia untuk komoditi utama Aceh seperti kopi, hasil laut, dan rempah-ratus, sekali gus memberi lonjakan positif kepada ekonomi negeri itu.
Selain aspek ekonomi, Mualem turut mengulas ringkas hubungan sejarah antara Aceh dan dunia Melayu, termasuk kehadiran ulama besar Aceh, Syeikh Syamsuddin As-Sumatrani, yang dimakamkan di Melaka menjadi bukti eratnya hubungan Aceh-Malaysia sejak ratusan tahun lalu.
Langkah mengalihkan kiblat pembangunan Aceh ke Malaysia bakal memperkukuh hubungan ekonomi, budaya, dan sejarah merentas Selat Melaka.
Ia juga berpotensi menjadikan Aceh sebagai pintu gerbang baharu perdagangan serantau, sekali gus mengurangkan kebergantungan penuh kepada Jakarta. -The Merdeka Times