Antarabangsa
Iran siasat kes kehilangan embrio beku di klinik kesuburan Tehran
- Timbalan Menteri Kesihatan bagi Urusan Rawatan, Dr Sajjad Razavi, mengesahkan pada Ahad bahawa kes tersebut akan dikemukakan kepada pejabat pendakwa raya dalam masa terdekat.
- “Ia sedang dalam proses semakan dan fail sedang dilengkapkan. Sebarang pelanggaran akan disiasat, dan keputusan akhir akan ditentukan oleh pihak kehakiman,” katanya kepada agensi berita Tasnim.
- Kontroversi itu tercetus selepas akhbar Shargh melaporkan pada 29 Julai bahawa beberapa embrio beku yang disimpan di Hospital Aban, Tehran, telah hilang atau tersilap dipindahkan.
TEHRAN – Badan kehakiman Iran melancarkan siasatan berhubung dakwaan kehilangan atau kesilapan pengurusan embrio yang dibekukan di sebuah hospital di bawah naungan kerajaan di Tehran, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kepercayaan dan pengawasan terhadap perkhidmatan kesuburan di negara itu.
Timbalan Menteri Kesihatan bagi Urusan Rawatan, Dr Sajjad Razavi, mengesahkan pada Ahad bahawa kes tersebut akan dikemukakan kepada pejabat pendakwa raya dalam masa terdekat.
“Ia sedang dalam proses semakan dan fail sedang dilengkapkan. Sebarang pelanggaran akan disiasat, dan keputusan akhir akan ditentukan oleh pihak kehakiman,” katanya kepada agensi berita Tasnim.
Menurut Dr Razavi, embrio berkenaan telah dipindahkan ke pusat perubatan lain dengan kerjasama pemiliknya.
Kontroversi itu tercetus selepas akhbar Shargh melaporkan pada 29 Julai bahawa beberapa embrio beku yang disimpan di Hospital Aban, Tehran, telah hilang atau tersilap dipindahkan.
Empat bulan sebelum itu, hospital berkenaan secara tiba-tiba menutup unit rawatan persenyawaan in vitro (IVF) tanpa memaklumkan keluarga yang menyimpan embrio, sperma atau ovum mereka di situ.
Keluarga terbabit hanya mengetahui perkara tersebut secara tidak sengaja dan ada yang dimaklumkan bahawa embrio mereka hilang atau telah diberikan kepada penerima yang salah semasa proses pemindahan.
Di Iran, IVF dibenarkan di bawah panduan agama dan permintaan terhadap rawatan kesuburan semakin meningkat berikutan kadar kelahiran yang menurun, peningkatan masalah ketidaksuburan serta ketidakpastian ekonomi yang menangguhkan perkahwinan dan kelahiran anak.
Kerajaan Iran giat menggalakkan pertumbuhan populasi dengan menyeru pasangan supaya mempunyai lebih ramai anak, namun akses kepada rawatan kesuburan kekal mahal dan lebih tertumpu di kawasan bandar. Oleh itu, ramai pasangan meletakkan kepercayaan kepada hospital besar untuk penyimpanan jangka panjang bahan biologi mereka.
Hospital Aban dikendalikan oleh Universiti Sains Perubatan Tehran dan berada di bawah Kementerian Kesihatan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan menafikan sebarang salah laku. “
Embrio-embrio tersebut disimpan dalam keadaan yang sesuai,” kata Ketua Perhubungan Awam universiti itu, Mohammadreza Foroughizad, pada 30 Julai.
Presiden universiti, Dr Nader Tavakkoli, pula menyifatkan insiden itu sebagai salah faham akibat kerja pengubahsuaian sementara dan menegaskan bahawa tiada embrio yang rosak.
Namun, Shargh melaporkan bahawa polis telah melawat hospital tersebut pada 28 Julai untuk merekodkan aduan rasmi daripada keluarga yang terlibat. Sehingga kini, ramai keluarga masih tidak mengetahui lokasi sebenar embrio beku mereka.
Keluarga-keluarga terbabit menuntut penjelasan, tindakan undang-undang, pampasan serta pemulangan selamat bahan biologi mereka. -The Merdeka Times