Antarabangsa
IDF akui lonjakan 1000% kes trauma akibat perang panjang, bunuh diri meningkat
- Perkara itu dikongsi Ketua Unit Kesihatan Mental Tempur untuk tentera simpanan, Lt.-Kol. Uzi Bechor kepada The Jerusalem Post.
- Bechor turut memberi amaran bahawa perang yang berlarutan ini menambah risiko bunuh diri dalam kalangan tentera simpanan, khususnya yang tidak dikenal pasti lebih awal oleh pegawai kesihatan tentera.
TEL AVIV– Permintaan tentera simpanan Israel untuk mendapatkan rawatan trauma melonjak drastik daripada 270 kes setahun kepada kira-kira 3,000 kes, peningkatan lebih 1,000 peratus sejak bermulanya perang terkini.
Perkara itu dikongsi Ketua Unit Kesihatan Mental Tempur untuk tentera simpanan, Lt.-Kol. Uzi Bechor kepada The Jerusalem Post.
Unit yang diketuai Bechor khusus membantu tentera yang mengalami trauma, sama ada akibat gangguan tekanan pasca trauma (PTSD), kemurungan umum atau gejala fizikal seperti gegaran.
Unit ini berbeza daripada jabatan kesihatan lain dalam Angkatan Pertahanan Israel (IDF) kerana fokusnya adalah kepada tentera yang telah bersara atau dalam status simpanan, yang kini dianggap sebagai orang awam.
Bechor turut memberi amaran bahawa perang yang berlarutan ini menambah risiko bunuh diri dalam kalangan tentera simpanan, khususnya yang tidak dikenal pasti lebih awal oleh pegawai kesihatan tentera.
“Majoriti tentera yang membunuh diri tidak pernah dikesan oleh sistem kesihatan. Tapi jika mereka sempat datang, kita boleh bantu,” katanya.
Menurut Bechor, purata tempoh tentera mendapatkan bantuan selepas insiden trauma sebelum ini adalah 10 tahun, namun kini menurun kepada hanya satu hingga dua minggu.
Beliau juga menegaskan bahawa perubahan budaya dalam IDF kini menggalakkan anggota mendapatkan rawatan tanpa rasa malu, berbanding lima tahun lalu di mana perkara itu dianggap memalukan.
Bechor turut mengulas perdebatan tentang sama ada tentera yang mengalami trauma patut dihantar semula ke medan. Beliau mengakui isu ini rumit, lebih-lebih lagi dalam perang yang panjang seperti sekarang, dan tekanan untuk kembali bertugas boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental tentera.-The Merdeka Times