Connect with us

Antarabangsa

Hubungan Mesir–Hamas tegang akibat tuntutan letak senjata, tinggalkan Gaza

Published

on

Foto: Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi
  • Perpecahan itu tercetus selepas Mesir menyampaikan mesej kepada kepimpinan Hamas di Doha pada akhir April, mendesak kumpulan itu menyerahkan senjata serta berundur dari Gaza.
  • Tuntutan tersebut ditolak keras Hamas.
  • Langkah ini dilihat hasil peningkatan tekanan daripada Amerika Syarikat dan beberapa negara Arab.
  • Bekas Duta Mesir ke PBB, Moataz Ahmadein Khalil, berkata pendirian baharu ini menunjukkan Mesir kini dilihat Washington sebagai alat tekanan ke atas Hamas untuk menerima tuntutan Amerika dan Israel.

 

 KAHERAH — Hubungan antara Mesir dan Hamas berada pada tahap paling tegang selepas Kaherah menyokong tuntutan supaya kumpulan itu meletakkan senjata dan menarik keluar pejuangnya dari Gaza, sekali gus menjejaskan rundingan gencatan senjata, menurut sumber Mesir dan Palestin kepada Middle East Eye.

Perpecahan itu tercetus selepas Mesir menyampaikan mesej kepada kepimpinan Hamas di Doha pada akhir April, mendesak kumpulan itu menyerahkan senjata serta berundur dari Gaza, tuntutan yang ditolak keras oleh Hamas.

Langkah ini dilihat hasil peningkatan tekanan daripada Amerika Syarikat dan beberapa negara Arab. Pada 29 Julai, Mesir menyertai Arab Saudi, Qatar, Turkiye dan Liga Arab menandatangani Deklarasi New York mengenai penyelesaian dua negara, yang menyeru Hamas menyerahkan kawalan Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin.

Menurut sumber Mesir, Kaherah pada mulanya enggan mengaitkan isu pelucutan senjata dengan rundingan gencatan senjata.

Namun, di bawah tekanan berterusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, Mesir mengubah pendirian dengan menyokong usaha serantau untuk memulakan apa yang digelar sebagai “proses penyerahan”, selaras dengan prasyarat Israel yang disokong Washington untuk menamatkan perang di Gaza.

Sebelum ini, Mesir menegaskan pelucutan senjata hanya wajar dibincangkan dalam penyelesaian politik menyeluruh yang merangkumi penamatan pendudukan Israel.

Menteri Luar Badr Abdelatty, ketika lawatan ke Washington pada Mac, berkata adalah tidak munasabah untuk memaksa perunding mencapai secara politik apa yang gagal dicapai Israel melalui operasi ketenteraan selama berbulan-bulan.

Sumber diplomatik di Kaherah berkata perubahan dasar itu juga dipengaruhi krisis kemanusiaan Gaza yang semakin buruk dan kegagalan saluran diplomatik.

Mesir bimbang dengan laporan Israel mahu memindahkan penduduk Gaza secara paksa ke Sinai utara, termasuk pembinaan kem khemah besar di Rafah yang mampu menampung lebih setengah juta orang. satu tindakan yang dikecam ramai sebagai “kem tahanan”.

Turut menambah ketegangan, tekanan awam terhadap kerajaan Mesir kerana dianggap tidak bertindak tegas.

Bekas Duta Mesir ke PBB, Moataz Ahmadein Khalil, berkata pendirian baharu ini menunjukkan Mesir kini dilihat Washington sebagai alat tekanan ke atas Hamas untuk menerima tuntutan Amerika dan Israel.

Beliau memberi amaran bahawa langkah itu merosakkan kredibiliti Mesir sebagai pengantara bebas dan gagal memanfaatkan peranan perantaraan demi kepentingan negara sendiri.

Ketegangan memuncak pada akhir Julai apabila pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya, dalam ucapan televisyen dari Doha, merayu rakyat Mesir dan pemimpin agama, tentera serta masyarakat agar membantu memecahkan kepungan ke atas Gaza.

Hayya mengkritik penutupan lintasan Rafah dan menyifatkan penghantaran bantuan udara sebagai “jenaka tragis”, sambil menggesa Mesir memastikan Gaza tidak mati kebuluran.

Ucapan itu menimbulkan kemarahan besar di Kaherah, yang menganggapnya sebagai hasutan berbahaya dan cubaan mempersalahkan Mesir.

Media pro-kerajaan melancarkan kempen mengkritik Hamas, dengan pegawai seperti Diaa Rashwan menyifatkan kenyataan Hayya sebagai “sangat berbahaya”.

Namun, sumber Hamas menegaskan rayuan itu dibuat atas semangat persaudaraan dan kerana “satu-satunya pintu yang tinggal untuk diketuk adalah pintu saudara-saudara kami di Mesir”. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author