Terkini
Generasi milenial (lahir 1981-1996): Berpendidikan tinggi, namun tertinggal jauh dari segi kewangan
- Generasi Milenial yang lahir antara 1981 hingga 1996, memiliki lebih banyak ijazah kolej berbanding mana-mana generasi sebelumnya dalam sejarah Amerika Syarikat.
- Di sebalik pencapaian akademik itu, mereka jauh ketinggalan berbanding generasi terdahulu dalam membina kekayaan dan kewangan.
- Jurang ini mencerminkan bukan sahaja pergerakan gaji tidak banyak berubah, tetapi juga perubahan struktur ekonomi, yang menyebabkan ramai milenial terperangkap dari segi kewangan.
- Kos pengajian kolej yang melambung tinggi turut menjadi faktor utama.
WASHINGTON – Generasi Milenial yang lahir antara 1981 hingga 1996, memiliki lebih banyak ijazah kolej berbanding mana-mana generasi sebelumnya dalam sejarah Amerika Syarikat.
Kira-kira 40 peratus daripada mereka memperoleh sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda.
Namun, di sebalik pencapaian akademik itu, ramai berdepan dengan realiti ekonomi yang pahit: mereka jauh ketinggalan berbanding generasi terdahulu dalam membina kekayaan dan kewangan.
Menurut laporan Rizab Persekutuan yag dipetik The Express Tribune, pendapatan milenial sekitar 20% lebih rendah berbanding baby boomers pada usia yang sama.
Pada tahun 2013, pendapatan median seorang milenial ialah AS$40,581 setahun, manakala baby boomers pada tahun 1989 memperoleh AS$50,910 setahun (diselaraskan dengan inflasi).
Jurang ini mencerminkan bukan sahaja pergerakan gaji yang tidak banyak berubah, tetapi juga perubahan struktur ekonomi yang menyebabkan ramai milenial terperangkap dari segi kewangan.
Kos pengajian kolej yang melambung tinggi turut menjadi faktor utama.
Ramai milenial melangkah ke alam dewasa dengan beban hutang pelajar tertinggi dalam sejarah, sekali gus menunda pencapaian penting seperti membeli rumah, berkahwin, atau membina keluarga.
Setakat 2024, purata hutang pinjaman pelajar mencecah lebih AS$37,000 setiap peminjam, dengan sebahagian berhutang jauh lebih tinggi.
Dalam masa yang sama, gaji kekal tidak banyak berubah selama beberapa dekad, sedangkan kos sara hidup, terutamanya perumahan, penjagaan kesihatan, dan penjagaan anak, meningkat mendadak.
Ramai milenial terpaksa membayar sewa atau kadar gadai janji yang lebih tinggi di bandar-bandar besar, menjadikan penjimatan semakin sukar.
Dengan inflasi dan pasaran kerja yang tidak menentu, ramai yang hidup dari gaji ke gaji walaupun bekerja sepenuh masa serta memiliki ijazah lanjutan.
Tidak seperti baby boomers yang memasuki pasaran kerja stabil dengan sokongan kesatuan, milenial mula dewasa ketika dan selepas krisis kewangan 2008.
Krisis itu menjejaskan pekerjaan, wang simpanan dan nilai hartanah, memaksa ramai milenial menerima pekerjaan bergaji rendah atau kerja gig tanpa jaminan jangka panjang.
Kebangkitan ekonomi gig dan kerja kontrak juga menambah ketidakstabilan pendapatan, walaupun bagi mereka yang berpendidikan tinggi.
Sementara itu, baby boomers menikmati kelebihan daripada ekonomi pasca-Perang Dunia Kedua yang menekankan pemilikan rumah, pencen, dan keselamatan pekerjaan, sesuatu yang tidak diwarisi milenial.
Kini, ketidaksamaan kekayaan di A.S. semakin melebar: pada tahun 2024, milenial hanya memiliki 5% daripada kekayaan negara, berbanding 21% yang dimiliki baby boomers pada usia sama. – The Merdeka Times