Connect with us

Antarabangsa

Bantuan ‘jutaan dolar’ untuk Gaza tersadai di gudang Jordan, Mesir

Published

on

Foto: Kanak-kanak berusia dua tahun yang mengalami kekurangan zat makanan di Gaza.
  • Sekatan ini berpunca daripada peraturan baharu pendaftaran NGO antarabangsa (INGO) yang diperkenalkan Israel pada Mac, yang membolehkan permohonan ditolak atas tuduhan sewenang-wenangnya seperti “mendelegitimasi Israel”.
  • Di bawah peraturan itu, NGO juga boleh ditolak jika kakitangan, rakan kongsi, ahli lembaga atau pengasas mereka pernah menyatakan sokongan terbuka terhadap boikot Israel dalam tempoh tujuh tahun lalu.
  • Pendaftaran ini turut memerlukan NGO mendedahkan butiran sensitif mengenai kakitangan mereka, termasuk penderma persendirian dan senarai pekerja Palestin, dengan sesetengahnya diberi tempoh tujuh hari untuk menyerahkan maklumat tersebut.

 

Penolakan sesuka hati pihak berkuasa Israel terhadap permohonan daripada puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan bantuan bagi menyelamat nyawa di Semenanjung Gaza menyebabkan bantuan bernilai jutaan dolar tersadai di gudang, menurut lebih 100 organisasi.

Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh NGO termasuk Doktor Tanpa Sempadan (MSF) dan Save the Children, Israel dilaporkan menolak permohonan tersebut atas alasan organisasi terbabit “tidak diberi kuasa untuk menghantar bantuan”, walaupun banyak daripada mereka telah beroperasi di Gaza selama berdekad-dekad.

Akibatnya, bantuan bernilai jutaan dolar berbentuk makanan, ubat-ubatan, air dan kelengkapan perlindungan kini terbiar di gudang-gudang di Jordan dan Mesir, sementara krisis kebuluran yang dikenakan oleh Israel terus mencengkam Gaza, mengorbankan lebih 200 rakyat Palestin setakat ini, separuh daripadanya kanak-kanak.

Menurut kenyataan itu, pada bulan Julai sahaja, pihak berkuasa dilaporkan menolak kira-kira 60 permohonan untuk penghantaran bantuan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif NGO Anera, Sean Carroll, berkata organisasinya mempunyai bekalan bernilai lebih 7 juta dolar yang bersedia untuk dibawa masuk ke Gaza termasuk 744 tan beras, cukup untuk enam juta hidangan namun tersekat di pelabuhan Ashdod yang hanya beberapa kilometer dari Gaza.

Organisasi-organisasi berkenaan berkata sekatan ini berpunca daripada peraturan baharu pendaftaran NGO antarabangsa (INGO) yang diperkenalkan Israel pada Mac, yang membolehkan permohonan ditolak atas tuduhan sewenang-wenangnya seperti “mendelegitimasi Israel”.

Di bawah peraturan itu, organisasi juga boleh ditolak jika kakitangan, rakan kongsi, ahli lembaga atau pengasas mereka pernah menyatakan sokongan terbuka terhadap boikot Israel dalam tempoh tujuh tahun lalu.

Pendaftaran ini turut memerlukan NGO mendedahkan butiran sensitif mengenai kakitangan mereka, termasuk penderma persendirian dan senarai pekerja Palestin, dengan sesetengahnya diberi tempoh tujuh hari untuk menyerahkan maklumat tersebut.

Jika gagal menyerahkan data ini, organisasi boleh dihalang daripada beroperasi di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Kenyataan itu menegaskan bahawa perkongsian data sedemikian adalah menyalahi undang-undang (termasuk di bawah undang-undang perlindungan data yang relevan), tidak selamat, dan bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.

Mereka menambah bahawa NGO tidak mendapat jaminan bahawa penyerahan maklumat ini tidak akan membahayakan kakitangan mereka, memandangkan 88 peratus pekerja kemanusiaan yang terbunuh akibat serangan Israel di Gaza adalah rakyat Palestin.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author