Antarabangsa
Bantuan ‘airdrop’ ragut nyawa warga Palestin di Gaza
- Mangsa, Saber al-Zamili, berada di dalam khemah ketika insiden berlaku pada Ahad lalu.
- Menurut anak lelakinya kepada Middle East Eye, Wael al-Zamili, ayahnya sedang bersiap untuk ke masjid bagi menunaikan solat harian sebelum ditimpa pakej berkenaan.
- “Ini bukan cara memberi makan rakyat Palestin. Ia adalah penghinaan dan penindasan. Tiada satu pun daripada apa yang dilakukan kini benar-benar membantu rakyat Palestin. Ia hanya menambah penderitaan kami. Mati kerana kelaparan lebih bermaruah daripada mati begini.” – Sarah al-Zamili, anak Perempuan mangsa
GAZA — Seorang warga Palestin berusia 75 tahun maut selepas sebuah pakej bantuan yang dijatuhkan dari udara menimpa dirinya di kawasan yang digelar sebagai “zon kemanusiaan” di selatan Gaza.
Mangsa, Saber al-Zamili, berada di dalam khemah ketika insiden berlaku pada Ahad lalu. Menurut anak lelakinya kepada Middle East Eye, Wael al-Zamili, ayahnya sedang bersiap untuk ke masjid bagi menunaikan solat harian sebelum ditimpa pakej berkenaan.
Anak perempuannya, Sarah al-Zamili, berkata tubuh bapanya ditemui dengan kecederaan parah di bawah pakej tersebut.
“Seluruh badannya hancur,” katanya sambil menangis.
Mangsa dibawa ke Hospital Kuwait di Rafah, sebelum dipindahkan ke Hospital Nasser di Khan Younis, namun disahkan meninggal dunia.
Sarah menegaskan cara penghantaran bantuan ketika ini tidak selamat, sama ada melalui udara, penghantaran Amerika Syarikat atau lori bantuan yang dikawal oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF).
“Ini bukan cara memberi makan rakyat Palestin. Ia adalah penghinaan dan penindasan,” ujarnya.
Beliau menambah, bantuan seharusnya diagihkan melalui saluran kemanusiaan rasmi yang tersusun serta selamat.
“Tiada satu pun daripada apa yang dilakukan kini benar-benar membantu rakyat Palestin. Ia hanya menambah penderitaan kami.
Mati kerana kelaparan lebih bermaruah daripada mati begini,” katanya.
Organisasi antarabangsa sebelum ini berulang kali memberi amaran bahawa penghantaran bantuan dari udara boleh mengancam nyawa orang awam.
Walaupun begitu, tentera Israel pada akhir Julai mengumumkan akan menyambung semula penghantaran udara dengan kerjasama beberapa negara Eropah dan serantau.
Kaedah itu dikritik kumpulan hak asasi dan pakar kemanusiaan kerana dianggap tidak efisien, tidak adil, serta mendedahkan orang ramai kepada bahaya.
Beberapa penghantaran sebelum ini juga mencetuskan rempuhan maut apabila orang ramai berebut untuk mendapatkan kotak bantuan.-The Merdeka Times