Connect with us

Antarabangsa

Apakah negara Arab hanya menanti dijajah Israel satu persatu?

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Menurut Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa di Universiti Sains Sosial Ankara, Prof. Muhittin Ataman sejak sekian lama, kebanyakan rejim Arab kekal pasif dan gagal menghentikan kekejaman Israel, malah ada yang secara langsung atau tidak langsung memberi laluan politik, ekonomi dan ketenteraan kepada Tel Aviv.
  • Beliau menegaskan tujuan sebenar Tel Aviv bukanlah sekadar mengawal Gaza atau berdepan Hamas, tetapi membina sebuah rejim apartheid serantau yang meliputi seluruh Asia Barat.
  • “Selagi negara-negara Arab hanya bergantung kepada kecaman tanpa tindakan bersama yang nyata, mereka membuka jalan untuk dijajah satu demi satu,” katanya.

 

ANKARA — Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, baru-baru ini mengisytiharkan hasratnya untuk menubuhkan “Israel Raya” yang meliputi bukan sahaja seluruh wilayah Palestin, malah sebahagian besar dunia Arab termasuk Lubnan, Syria, Mesir, Iraq dan Arab Saudi.

Kenyataan bercorak teopolitik itu disifatkan sebagai ancaman terus kepada keselamatan negara-negara Arab, kestabilan Asia Barat serta keamanan antarabangsa.

Netanyahu turut menggambarkan dirinya berada dalam “misi bersejarah dan spiritual” bagi memperluas wilayah Israel dengan mengorbankan negara jiran Arab.

Menurut laporan antarabangsa, sebanyak 31 negara Arab dan Islam telah mengecam keras visi “Israel Raya” dan menolak dasar peluasan Israel yang dianggap bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Mereka turut mendesak penamatan segera genosid di Gaza serta menolak rancangan pelarian paksa terhadap dua juta rakyat Palestin.

Namun, menurut Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa di Universiti Sains Sosial Ankara, Prof. Muhittin Ataman, kecaman ini tidak memadai kerana Israel dan sekutunya menyedari kutukan semata-mata hanya akan dilupakan tanpa tindakan tegas.

Beliau menegaskan bahawa sejak sekian lama, kebanyakan rejim Arab kekal pasif dan gagal menghentikan kekejaman Israel, malah ada yang secara langsung atau tidak langsung memberi laluan politik, ekonomi dan ketenteraan kepada Tel Aviv.

Prof. Ataman menjelaskan bahawa rancangan peluasan Israel berlaku dalam empat fasa.

Pertama, menghapuskan identiti Palestin di Gaza dan Tebing Barat melalui pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan migrasi paksa.

Kedua, menguasai wilayah Arab seperti Syria dan Lubnan, termasuk memperkukuh penguasaan di Bukit Golan dan menekan Hizbullah.

Fasa ketiga pula dijangka menyasarkan Jordan, memandangkan majoriti penduduknya adalah etnik Palestin.

Manakala fasa terakhir bakal menjadikan Mesir, Arab Saudi dan Iraq sebagai sasaran peluasan, sekali gus menghalang terbentuknya kestabilan politik serantau selain mengukuhkan hegemoni Israel.

Beliau menegaskan bahawa tujuan sebenar Tel Aviv bukanlah sekadar mengawal Gaza atau berdepan Hamas, tetapi membina sebuah rejim apartheid serantau yang meliputi seluruh Asia Barat.

“Selagi negara-negara Arab hanya bergantung kepada kecaman tanpa tindakan bersama yang nyata, mereka membuka jalan untuk dijajah satu demi satu,” katanya.

Ataman menambah, dunia Arab dan negara bukan Arab di rantau itu perlu bersatu dalam kekuatan politik dan diplomatik, serta memujuk kuasa-kuasa besar antarabangsa agar mengekang rancangan perluasan Israel.

“Mereka mesti mengambil langkah sebelum terlambat. Jika tidak, mereka harus bersedia menghadapi pengakhiran yang tragis iaitu dijajah oleh Israel,” tegasnya. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author