Terkini
Apa sebab utama pemimpin muda Burkina Faso, Ibrahim Traoré tambat hati dunia?
- Pesona Kapten Ibrahim Traoré, pemerintah tentera Burkina Faso berusia 37 tahun membuat ramai melihat beliau sebagai pewaris kepada wira-wira Afrika terdahulu.
- “Kesannya sangat besar. Saya malah mendengar ahli politik dan penulis di negara seperti Kenya berkata: ‘Inilah dia. Dialah orangnya’,” kata Beverly Ochieng, penyelidik kanan di firma perunding global Control Risks.
- “Ucapannya mencerminkan zaman yang kita lalui, ketika ramai orang Afrika mempersoalkan hubungan dengan Barat, dan mengapa masih begitu banyak kemiskinan di benua yang kaya dengan sumber,” tambahnya.
- Burkina Faso, sebuah negara di Afrika Barat yang bersempadan enam negara jiran termasuk Mali dan Ghana, kini menjadi perhatian dunia susulan perkembangan politik dan keselamatan terbarunya.
OUAGADOUGOU – Kapten Ibrahim Traoré, pemerintah tentera Burkina Faso berusia 37 tahun, telah membina imej sebagai pemimpin Pan-Afrika yang berkarisma, menentang apa yang dianggapnya sebagai imperialisme Barat dan neo-kolonialisme.
Pesonanya membuat ramai melihat beliau sebagai pewaris kepada wira-wira Afrika terdahulu termasuk Thomas Sankara, revolusioner Marxis Burkina Faso yang digelar “Che Guevara Afrika”.
“Kesannya sangat besar. Saya malah mendengar ahli politik dan penulis di negara seperti Kenya berkata: ‘Inilah dia. Dialah orangnya’,” kata Beverly Ochieng, penyelidik kanan di firma perunding global Control Risks kepada BBC.
“Ucapannya mencerminkan zaman yang kita lalui, ketika ramai orang Afrika mempersoalkan hubungan dengan Barat, dan mengapa masih begitu banyak kemiskinan di benua yang kaya dengan sumber,” tambahnya.
Burkina Faso, sebuah negara di Afrika Barat yang bersempadan dengan enam negara jiran termasuk Mali dan Ghana, kini menjadi perhatian dunia susulan perkembangan politik dan keselamatan terbarunya.
Selepas rampasan kuasa pada 2022, Ibrahim menyingkirkan bekas penjajah Perancis, mengikat kerjasama erat dengan Rusia termasuk penempatan briged paramilitari, serta memperkenalkan dasar ekonomi berhaluan kiri.
Langkah itu termasuk menubuhkan syarikat perlombongan milik negara, mewajibkan firma asing menyerahkan 15% pegangan dalam operasi tempatan dan memindahkan kemahiran kepada rakyat Burkina Faso.
Sebagai sebahagian daripada “revolusi” untuk memastikan hasil mineral dinikmati negara, jentera tentera turut membina loji penapisan emas dan menubuhkan rizab emas nasional buat pertama kali.
Namun, syarikat milik Barat berdepan kesukaran, antaranya Sarama Resources dari Australia yang melancarkan prosiding timbang tara selepas permit penerokaan ditarik balik pada 2024.
Dua lombong emas milik firma tersenarai di London juga telah dinasionalisasi, manakala rancangan mengambil alih lombong asing lain diumumkan.
“Beliau kini boleh dikatakan presiden paling popular, jika bukan kegemaran, di Afrika,” kata penyelidik Institut Kajian Keselamatan Afrika Selatan, Enoch Randy Aikins kepada BBC.
Pengaruh Ibrahim turut tersebar melalui media sosial, termasuk video AI artis terkenal seperti Rihanna dan Beyoncé yang digambarkan menyanyikan lagu memujinya, walaupun artis terbabit sebenarnya tidak berbuat begitu.
Ibrahim juga mula mencuri perhatian selepas Sidang Kemuncak Rusia-Afrika 2023, apabila menyeru pemimpin Afrika supaya “berhenti berkelakuan seperti boneka yang menari setiap kali imperialis menarik tali.”
Di Rusia minggu lalu, Ibrahim memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan Kesatuan Soviet ke atas Nazi Jerman, dan memuat naik di X bahawa beliau bersama pemimpin tentera Mali terinspirasi “untuk memenangi perang menentang keganasan dan imperialisme dengan apa cara sekalipun. – The Merdeka Times