Antarabangsa
5 wartawan Al Jazeera dibunuh dalam serangan Israel di Gaza
- Insiden berlaku ketika mereka berada di khemah media di pintu utama hospital pada Ahad.
- Tentera zionis mengesahkan pihaknya menyasarkan al-Sharif dengan dakwaan beliau mengetuai sel pengganas Hamas dan terlibat merancang serangan roket ke atas orang awam Israel serta tentera IDF.
- Sebelum ini, Al Jazeera dan CPJ pernah memberi amaran bahawa nyawa al-Sharif terancam selepas IDF menyiarkan video menuduh beliau sebagai anggota sayap ketenteraan Hamas.
- Dakwaan itu disifatkan PBB sebagai tidak berasas dan serangan terang-terangan terhadap wartawan.
GAZA — Lima wartawan Al Jazeera, termasuk wartawan terkenal Anas al-Sharif, dibunuh dalam serangan udara Israel berhampiran Hospital Al-Shifa, menurut stesen penyiaran tersebut.
Insiden berlaku ketika mereka berada di khemah media di pintu utama hospital pada Ahad.
Mangsa lain yang terkorban ialah wartawan Mohammed Qreiqeh serta jurukamera Ibrahim Zaher, Mohammed Noufal dan Moamen Aliwa.
Menurut Al Jazeera, serangan itu adalah satu lagi serangan terancang terhadap kebebasan media yang dilakukan secara sengaja.
Tentera Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan pihaknya menyasarkan al-Sharif dengan dakwaan beliau mengetuai sel pengganas Hamas dan terlibat merancang serangan roket ke atas orang awam Israel serta tentera IDF.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) mengecam tindakan itu dan menegaskan Israel gagal mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.
Pengarang Urusan Al Jazeera, Mohamed Moawad berkata al-Sharif adalah wartawan bertauliah dan menjadi satu-satunya suara yang menyampaikan keadaan sebenar di Gaza kepada dunia.
Beliau menegaskan pasukan tersebut disasarkan ketika berada di kawasan khemah media, bukannya di barisan hadapan pertempuran.
Al-Sharif, 28, sempat memuat naik catatan di platform X beberapa saat sebelum kematiannya, memberi amaran tentang pengeboman hebat Israel di Gaza City. Dalam kejadian itu, tujuh orang dilaporkan terbunuh, termasuk lima petugas Al Jazeera.
Sebelum ini, Al Jazeera, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan CPJ pernah memberi amaran bahawa nyawa al-Sharif terancam selepas IDF menyiarkan video menuduh beliau sebagai anggota sayap ketenteraan Hamas.
Dakwaan itu disifatkan PBB sebagai tidak berasas dan serangan terang-terangan terhadap wartawan.
Ini bukan kali pertama wartawan Al Jazeera terbunuh akibat serangan Israel di Gaza. Ogos tahun lalu, wartawan Ismael Al-Ghoul maut terkena serangan udara ketika berada dalam kereta, bersama jurukamera Rami al-Rifi dan seorang kanak-kanak.
Al Jazeera menolak dakwaan IDF bahawa mereka terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Menurut CPJ, sejak permulaan operasi ketenteraan Israel di Gaza pada Oktober 2023, sekurang-kurangnya 186 wartawan telah disahkan terbunuh.-The Merdeka Times