Antarabangsa
Thailand perketat undang-undang ganja, hukuman berat menanti pengusaha
- “Pegawai kesihatan awam telah diberi kuasa untuk menangkap dan mengenakan denda ke atas pengusaha perniagaan yang memasukkan ganja ke dalam makanan, snek atau minuman melebihi had yang dibenarkan undang-undang.” – Sasikan Watthanachan, Jurucakap Timbalan Kerajaan
- Kerajaan turut mengingatkan orang ramai, khususnya ibu bapa dan remaja, tentang bahaya produk seperti ‘gula-gula ganja’ yang mengandungi THC (tetrahydrocannabinol) dan CBD (cannabidiol).
- Pada 6 Julai lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun telah dimasukkan ke hospital selepas secara tidak sengaja memakan 10 biji gula-gula berperisa ganja.
BANGKOK – Kerajaan Thailand kini mempertingkatkan langkah penguatkuasaan terhadap penjualan produk berproses yang mengandungi ganja secara haram dalam usaha melindungi kesihatan awam, khususnya golongan kanak-kanak dan remaja
Jurucakap Timbalan Kerajaan, Sasikan Watthanachan berkata, Kementerian Kesihatan Awam melalui Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) serta pejabat kesihatan awam wilayah telah diarahkan untuk menjalankan pemeriksaan dan operasi penguatkuasaan yang ketat.
“Pegawai kesihatan awam telah diberi kuasa untuk menangkap dan mengenakan denda ke atas pengusaha perniagaan yang memasukkan ganja ke dalam makanan, snek atau minuman melebihi had yang dibenarkan undang-undang. Sekiranya terdapat pelanggaran, kes perlu dirujuk kepada pihak polis untuk tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan di laman web rasmi Kerajaan Thailand pada Isnin.
Beliau memaklumkan bahawa Kementerian telah pun menggantung lesen pengendali yang melanggar peraturan.
Antara kesalahan termasuk mencampurkan ganja ke dalam makanan tanpa kebenaran atau gagal menyediakan pelabelan yang betul, yang boleh dikenakan denda sehingga 30,000 baht (kira-kira RM4,000), hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kerajaan turut mengingatkan orang ramai, khususnya ibu bapa dan remaja, tentang bahaya produk seperti ‘gula-gula ganja’ yang mengandungi THC (tetrahydrocannabinol) dan CBD (cannabidiol).
THC adalah bahan psikoaktif yang bersifat ketagihan dan boleh diserap dengan cepat ke dalam aliran darah serta mempengaruhi otak, menyebabkan rasa tenang, euforia, pengurangan tekanan dan mood yang meningkat.
Pengambilan dalam kuantiti besar terutamanya oleh kanak-kanak atau pengguna baharu boleh menyebabkan degupan jantung laju, muntah, pening, penglihatan kabur, kelemahan otot, halusinasi visual dan bunyi, paranoia, pernafasan laju serta tekanan darah tinggi.
Pada 6 Julai lalu, media tempatan melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun telah dimasukkan ke hospital selepas secara tidak sengaja memakan 10 biji gula-gula berperisa ganja. -The Merdeka Times