Antarabangsa
Presiden Mesir arah Al-Azhar tarik balik kecaman terhadap Israel
- Kenyataan tersebut pada awalnya diterbitkan oleh Al-Azhar pada Selasa, mengandungi kecaman keras terhadap Israel serta menyeru masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan segera untuk menghentikan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.
- Sumber menyatakan pejabat presiden tidak mahu kenyataan tersebut mengganggu peranan diplomatik Mesir dalam rundingan antara Israel dan Hamas.
KAHERAH — Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi didakwa telah mengarahkan institusi Islam tersohor dunia, Al-Azhar, untuk menarik balik satu kenyataan rasmi yang mengecam tindakan Israel melakukan kebuluran genosid terhadap penduduk Gaza, menurut sumber yang rapat dengan kepimpinan Al-Azhar dan pejabat presiden.
Kenyataan tersebut, yang pada awalnya diterbitkan oleh Al-Azhar pada Selasa, mengandungi kecaman keras terhadap Israel serta menyeru masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan segera untuk menghentikan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.
Namun tidak lama selepas itu, ia telah dipadam atas arahan langsung dari pejabat Presiden Sisi, dakwa dua sumber kepada portal Middle East Eye.
Menurut sumber yang enggan dinamakan kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media, tekanan tersebut berpunca daripada kandungan kenyataan itu yang menyebut secara terbuka penglibatan negara ketiga dalam pembunuhan beramai-ramai (fully fledged genocide) di Gaza satu tuduhan yang dianggap terlalu sensitif dan berisiko mencetus ketegangan diplomatik.
Pada Rabu, Al-Azhar mengesahkan bahawa kenyataan tersebut telah ditarik balik, dengan menyatakan bahawa langkah itu dibuat atas dasar “tanggungjawab kepada Tuhan” dan untuk mengelakkan gangguan terhadap rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung.
“Al-Azhar telah mengambil inisiatif menarik balik kenyataan itu dengan keberanian dan tanggungjawab di hadapan Tuhan apabila menyedari ia boleh memberi kesan terhadap rundingan gencatan senjata di Gaza demi menyelamatkan nyawa tidak berdosa,” menurut kenyataan rasmi institusi tersebut.
Namun, laporan eksklusif Middle East Eye mendedahkan bahawa penarikan balik itu bukanlah atas inisiatif moral semata-mata, tetapi dibuat selepas campur tangan politik dari pihak tertinggi negara.
Sumber menyatakan bahawa pejabat presiden tidak mahu kenyataan tersebut mengganggu peranan diplomatik Mesir dalam rundingan antara Israel dan Hamas.
Tindakan ini mencetuskan kritikan dalam kalangan pengamal hak asasi manusia dan cendekiawan Muslim, yang melihat keputusan tersebut sebagai bentuk tekanan politik terhadap institusi keagamaan yang sepatutnya bebas menyuarakan isu kezaliman dan keadilan sejagat.
Meskipun Mesir memainkan peranan penting sebagai orang tengah dalam konflik Gaza, banyak pihak berpendapat bahawa mendiamkan suara institusi agama demi menjaga hubungan geopolitik boleh memberi kesan negatif terhadap kredibiliti dan prinsip moral negara itu.
Setakat ini, pejabat Presiden Mesir masih belum memberikan sebarang respons rasmi terhadap dakwaan tekanan terhadap Al-Azhar.-The Merdeka Times