Antarabangsa
Pendakwa ICC diugut: “Batalkan waran tangkap Netanyahu atau anda dan mahkamah dihancurkan”
- Menurut laporan eksklusif oleh Middle East Eye (MEE), ugutan itu disampaikan oleh Nicholas Kaufman, seorang peguam bela di ICC.
- “Mereka akan hancurkan kamu, dan mereka akan hancurkan mahkamah ini.” – Nicholas Kaufman
- Kaufman memberi amaran bahawa jika Khan meneruskan usaha untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap dua lagi menteri pelampau kanan Israel, Itamar Ben Gvir dan Bezalel Smotrich berhubung penggalakan penempatan haram di Tebing Barat, maka “tiada lagi pilihan di atas meja.”
THE HAGUE – Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan dilapor telah menerima ugutan daripada seorang peguam Britain-Israel yang dikaitkan dengan penasihat perundangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Ugutan tersebut berkait rapat dengan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang di Palestin.
Menurut laporan eksklusif oleh Middle East Eye (MEE), ugutan itu disampaikan oleh Nicholas Kaufman, seorang peguam bela di ICC yang turut mewakili beberapa tokoh kontroversi lain seperti bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
Dalam satu pertemuan pada 1 Mei lalu di sebuah hotel di The Hague, Kaufman didakwa berkata ‘mereka’ merujuk kepada Israel akan hancurkan Khan.
“Mereka akan hancurkan kamu, dan mereka akan hancurkan mahkamah ini,” tegasnya.
Kaufman juga mendakwa beliau telah berbincang dengan penasihat perundangan Netanyahu dan kononnya “diberi kuasa” untuk menyampaikan satu cadangan kepada Khan.
Antara yang dicadangkan ialah supaya Khan memohon kepada mahkamah agar maklumat berkaitan waran tangkap diklasifikasikan sebagai “sulit”.
Ini dikatakan akan memberi akses kepada Israel untuk mencabar dakwaan terhadap pemimpinnya secara tertutup, tanpa pendedahan kepada umum.
Namun, Kaufman memberi amaran bahawa jika Khan meneruskan usaha untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap dua lagi menteri pelampau kanan Israel, Itamar Ben Gvir dan Bezalel Smotrich berhubung penggalakan penempatan haram di Tebing Barat, maka “tiada lagi pilihan di atas meja.”
Catatan rasmi mesyuarat itu yang dilihat oleh Middle East Eye menyatakan bahawa Khan dan isterinya yang turut hadir memahami kenyataan Kaufman sebagai satu ancaman serius.
Dalam kenyataan balas kepada MEE, Kaufman tidak menafikan beliau meminta Khan mempertimbangkan semula tindakannya, namun menafikan bahawa beliau diberi kuasa rasmi mewakili kerajaan Israel.
Katanya, beliau bimbang penerusan waran tangkap itu akan mencetuskan lebih banyak sekatan dari Amerika Syarikat yang boleh menghancurkan kredibiliti ICC.
Kementerian Perdana Menteri Israel tidak memberikan sebarang komen ketika dihubungi oleh MEE.
Waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant dikeluarkan pada November 2024, susulan siasatan ICC terhadap jenayah perang yang didakwa dilakukan oleh Israel di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki.
Pendedahan terbaru ini menimbulkan persoalan serius mengenai tekanan politik terhadap badan kehakiman antarabangsa dan keselamatan institusi keadilan sejagat. -The Merdeka Times