Antarabangsa
Misteri syiling Malaysia di Ibu Pejabat CIA, Siapa tinggalkan dan mengapa?
- Syiling 20 sen keluaran tahun 2018, 10 sen tahun 2017, dan 5 sen tahun 2018 ditemui di kaki patung Nathan Hale yang terletak di luar Bangunan Ibu Pejabat Asal CIA di Langley, Virginia.
- “Menurut kisah lagenda, pegawai CIA akan meninggalkan syiling di kaki patung sebelum bertugas ke luar negara. Ia dipercayai membawa tuah dan perlindungan daripada Hale sepanjang misi mereka,” jelas agensi itu menerusi laman web rasminya.
KUALA LUMPUR– Tiga keping duit syiling Malaysia telah dipilih oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) sebagai sebahagian daripada segmen mingguan sorotan artifak di akaun rasmi X agensi itu.
Syiling 20 sen keluaran tahun 2018, 10 sen tahun 2017, dan 5 sen tahun 2018 ditemui di kaki patung Nathan Hale yang terletak di luar Bangunan Ibu Pejabat Asal CIA di Langley, Virginia.
Menariknya, setiap syiling itu memaparkan ilustrasi kecil.
Syiling 20 sen mempunyai lukisan berbentuk figura manusia kayu, syiling 10 sen kelihatan menggambarkan seorang wanita atau kanak-kanak, manakala syiling 5 sen pula memaparkan cap tapak kaki haiwan.
CIA tidak mendedahkan siapa yang meletakkan syiling tersebut atau bila ia ditinggalkan.
“Menurut kisah lagenda, pegawai CIA akan meninggalkan syiling di kaki patung sebelum bertugas ke luar negara. Ia dipercayai membawa tuah dan perlindungan daripada Hale sepanjang misi mereka,” jelas agensi itu menerusi laman web rasminya.
Patung itu dibina sebagai penghormatan kepada Nathan Hale, yang dianggap sebagai pegawai perisikan pertama Amerika Syarikat.
Hale dihukum gantung pada tahun 1776 ketika berusia 21 tahun selepas ditangkap semasa mengintip tentera British dalam Perang Revolusi Amerika.
Patung Hale digambarkan dengan tangan terikat dan merenung ke hadapan dengan penuh ketegasan.
Kebiasaannya, pegawai meninggalkan syiling suku dolar AS yang memaparkan imej George Washington. Namun ada juga yang memilih syiling asing atau syiling dengan nilai simbolik dan peribadi, seperti 76 sen bagi memperingati tahun 1776 atau seperti syiling Malaysia yang mempunyai lukisan dan mesej tertentu.
Syiling yang dikumpulkan secara berkala di memorial itu akan diserahkan kepada Muzium CIA, dan hasil kutipan akan disumbangkan kepada CIA Officers Memorial Foundation dan Third Option Foundation iaitu dua badan yang menyokong pegawai perisikan yang cedera serta keluarga mereka yang terkorban ketika bertugas. -The Merdeka Times