Terkini
Malaysia berhak tolak Duta AS pro-zionis : Pakar Undang-Undang Antarabangsa
- Bercakap kepada The Merdeka Times, Prof Dr Salawati menjelaskan tindakan menolak pelantikan seorang duta bukanlah sesuatu yang melanggar undang-undang antarabangsa, sebaliknya ia adalah hak yang dijamin di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik.
- “Kalau dia datang dan tak faham budaya kita, malah buat perangai bertentangan dengan nilai dan fahaman kita, itu akan lebih mengeruhkan hubungan diplomatik,” tegas beliau lagi.
BANGI – Pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Salawati Mat Basir menegaskan bahawa Malaysia mempunyai hak penuh untuk menolak pelantikan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia jika individu itu dilihat tidak sesuai atau boleh membawa mudarat kepada hubungan dua hala.
Bercakap kepada The Merdeka Times, Prof Dr Salawati menjelaskan bahawa tindakan menolak pelantikan seorang duta bukanlah sesuatu yang melanggar undang-undang antarabangsa, sebaliknya ia adalah hak yang dijamin di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik.
“Memang kita boleh tolak. Kita ada hak untuk menolak mana-mana pelantikan duta yang kita rasa tidak sesuai dengan keadaan sesebuah negara,” jelas beliau.
Menurut beliau, tiada implikasi diplomatik yang besar sekiranya Malaysia memilih untuk menolak pelantikan tersebut kerana negara penghantar seperti Amerika Syarikat juga memerlukan kelulusan kongres sebelum menerima duta asing ke negara mereka.
“Nak kata akan jejaskan hubungan dua hala antara Trump dengan Malaysia pun tak boleh juga sebab itu hak negara penerima,” katanya.
Prof Dr Salawati turut menegaskan bahawa fungsi utama seorang duta adalah untuk merapatkan hubungan dua hala antara negara, dan sekiranya pelantikan individu tersebut tidak mengambil kira sensitiviti budaya dan fahaman rakyat Malaysia, maka ia boleh membawa lebih banyak kerosakan diplomatik.
“Kalau dia datang dan tak faham budaya kita, malah buat perangai bertentangan dengan nilai dan fahaman kita, itu akan lebih mengeruhkan hubungan diplomatik,” tegas beliau lagi.
Beliau menegaskan sekali lagi bahawa penolakan seperti ini sah di sisi undang-undang antarabangsa dan tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan bermusuhan.
Pelantikan Nick Adams tokoh kontroversi yang dilaporkan pro-Zionis ke jawatan diplomatik tertinggi AS di Malaysia menimbulkan keresahan pelbagai pihak, termasuk NGO dan tokoh akademik tempatan yang mendesak kerajaan agar bertindak tegas selaras dengan prinsip kedaulatan dan pendirian negara terhadap isu Palestin. -The Merdeka Times