Connect with us

Terkini

Lindungi warga Druze keutamaan kami – Presiden Syria

Published

on

Foto: Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa

Damsyik – Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, menegaskan bahawa perlindungan terhadap warga Druze dan hak-hak mereka merupakan “keutamaan kami”, susulan ancaman Israel untuk memusnahkan pasukan kerajaan Syria yang menyerang komuniti Druze di selatan negara itu.

Dalam kenyataan televisyen pertamanya selepas serangan udara besar-besaran Israel di Damsyik pada hari Rabu, al-Sharaa memberi jaminan kepada warga Druze bahawa kerajaan tidak akan membiarkan mereka dieksploitasi oleh kuasa luar.

“Kami menolak sebarang cubaan untuk menyeret anda ke dalam tangan pihak luar,” kata beliau kepada masyarakat Druze.

Tambah beliau, rakyat Syria tidak gentar menghadapi peperangan dan sentiasa bersedia untuk berjuang sekiranya maruah mereka diancam.

“Kami bukan golongan yang takutkan peperangan. Sepanjang hidup, kami berdepan pelbagai cabaran dan mempertahankan rakyat kami, namun kami sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat Syria daripada kekacauan dan kehancuran,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, al-Sharaa turut memuji peranan Amerika Syarikat, negara-negara Arab, dan Turki yang bertindak sebagai pengantara dan membantu menstabilkan keadaan yang tegang.

“Entiti Israel telah melancarkan serangan meluas terhadap kemudahan awam dan kerajaan,” katanya sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu faktor yang mencetuskan eskalasi besar dalam konflik berkenaan.

Namun begitu, beliau percaya campur tangan berkesan dari pihak pengantara antarabangsa telah menyelamatkan rantau itu daripada menuju ke arah “nasib yang tidak menentu”.

Serangan terkini dan ketegangan yang meningkat ini dijangka terus menguji ketahanan politik dan kemanusiaan Syria dalam menghadapi tekanan dari pelbagai pihak, termasuk ancaman berterusan dari Israel.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author