Antarabangsa
ISIS disyaki dalang kekejaman terhadap komuniti Druze, Bukan tentera Syria – Utusan AS
- Utusan khas Amerika Syarikat ke Syria, Tom Barrack menyatakan bahawa insiden keganasan di wilayah Sweida, Syria, berkemungkinan besar dicetuskan oleh kumpulan militan yang menyamar.
- “Sebenarnya pasukan tentera Syria belum masuk ke bandar itu. Kekejaman yang berlaku ini bukan dilakukan oleh tentera rejim Syria. Mereka sendiri sudah bersetuju dengan Israel untuk tidak masuk ke bandar itu,” kata Barrack.
- Kawasan Sweida, yang majoritinya dihuni komuniti Druze, menyaksikan pertembungan berdarah dengan kumpulan Bedouin Sunni, mengakibatkan hampir 1,000 orang terbunuh.
BEIRUT — Utusan khas Amerika Syarikat ke Syria, Tom Barrack, memaklumkan bahawa pasukan kerajaan Syria mungkin bukan pihak yang bertanggungjawab terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas komuniti Druze di selatan Syria, sebaliknya menuduh militan ISIS yang menyamar memakai seragam tentera kerajaan sebagai pelaku sebenar.
Dalam wawancara bersama Reuters di Beirut pada Selasa, Barrack yang juga duta AS ke Turkiye menyatakan bahawa insiden keganasan sektarian di wilayah Sweida, Syria, berkemungkinan besar dicetuskan oleh kumpulan militan yang menyamar.
“Sebenarnya pasukan tentera Syria belum masuk ke bandar itu. Kekejaman yang berlaku ini bukan dilakukan oleh tentera rejim Syria.
“Mereka sendiri sudah bersetuju dengan Israel untuk tidak masuk ke bandar itu,” kata Barrack.
Kawasan Sweida, yang majoritinya dihuni komuniti Druze, menyaksikan pertembungan berdarah dengan kumpulan Bedouin Sunni, mengakibatkan hampir 1,000 orang terbunuh.
Krisis ini turut membabitkan campur tangan Israel yang mengebom kedudukan tentera Syria atas alasan untuk “melindungi” komuniti Druze, satu tindakan yang mengundang reaksi tidak senang dari pentadbiran Presiden Donald Trump serta Arab Saudi.
Menurut laporan Middle East Eye, Rumah Putih memaklumkan bahawa Trump terkejut dengan tindakan unilateral Israel itu.
Barrack turut mempersoalkan ketulenan beberapa rakaman video kekejaman yang tular di media sosial, yang mendakwa menunjukkan tindakan kejam oleh tentera kerajaan Syria.
Beliau menyatakan bahawa rakaman berkenaan mudah dimanipulasi.
Sebagai utusan khas AS, Barrack kini mengetuai usaha melobi agar sekatan ekonomi terhadap Syria ditarik balik. Beliau juga menyokong inisiatif negara-negara Teluk untuk melabur semula dalam negara yang dilanda peperangan itu.
Dalam masa yang sama, Barrack cuba menggesa Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai oleh etnik Kurdi agar menyertai tentera kebangsaan Syria, selaras dengan langkah AS mengurangkan kehadiran tenteranya di timur laut Syria.-The Merdeka Times