Antarabangsa
Bekas Ketua Sami Thailand disiasat, Didakwa ada tiga ‘isteri’ dan salah guna dana kuil
- Gambar Phra Thamma Wachiratheerakun (Thid Sarit) , 67 tahun berpelukan dengan seorang wanita sambil memakai rambut palsu tersebar meluas di media sosial, mencetuskan kemarahan orang ramai.
- Seorang lagi Wanita, pegawai kanan kerajaan dilapor membuat pendedahan kepada polis selepas cemburu mengetahui hubungan rahsia antara Thid Sarit dan ahli perniagaan tersebut
- Thid Sarit juga dilapor mempunyai hubungan dengan wanita ketiga, seorang janda.
BANGKOK — Seorang bekas ketua sami di Thailand mencetuskan kejutan besar dalam masyarakat Buddha apabila didakwa menjalin hubungan sulit dengan tiga wanita semasa memegang jawatan tinggi agama, termasuk seorang pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan kaya.
Bekas sami itu, yang dikenali sebagai Phra Thamma Wachiratheerakun , 67, telah meninggalkan dunia sami pada 19 Julai lalu dan kini menggunakan nama awam Thid Sarit.
Beliau dilapor keluar dari biara atas alasan kesihatan, namun siasatan mendapati wujud pelbagai kontroversi peribadi dan kewangan yang mungkin menjadi punca sebenar pengundurannya.
Gambar Thid Sarit berpelukan dengan seorang wanita sambil memakai rambut palsu tersebar meluas di media sosial, mencetuskan kemarahan orang ramai.
Laporan media tempatan mendakwa wanita terbabit tinggal di kawasan perumahan mewah di Daerah Muang, Wilayah Nakhon Sawan, bersama dua lagi wanita yang turut dikaitkan dengannya.
Salah seorang daripada mereka, seorang pegawai kanan kerajaan dalam sektor agama, dilaporkan membuat pendedahan kepada polis selepas cemburu mengetahui hubungan rahsia antara Thid Sarit dan ahli perniagaan tersebut yang sudah berlangsung selama lebih 15 tahun.
Pendedahan itu menyebabkan Biro Siasatan Pusat (CIB) Thailand membuka siasatan terhadap dakwaan salah laku seksual dan penyalahgunaan dana semasa beliau menjadi ketua sami Wilayah Nakhon Sawan dan abbot Wat Nakhon Sawan.
Thid Sarit juga disiasat berhubung projek Taman Buddha Nakhon Sawan yang tertangguh selama sedekad.
Siasatan awal mendapati Thid Sarit pernah mengutip derma besar-besaran daripada kuil-kuil seluruh wilayah, yang dipercayai mencecah lebih 100 juta baht.
Namun, dana itu didakwa tidak digunakan untuk tujuan asal pembinaan taman Buddha, malah gambar wang tunai dalam jumlah besar turut ditemui oleh penyiasat.
Selain dua wanita utama, Thid Sarit juga dilaporkan mempunyai hubungan dengan wanita ketiga, seorang janda.
Kes ini menimbulkan kebimbangan awam terhadap tahap integriti dan pemantauan terhadap golongan sami berpangkat tinggi di Thailand.
Pihak berkuasa kini giat menyemak semua perbelanjaan projek berkaitan serta kemungkinan berlaku pecah amanah yang melibatkan dana awam dan keagamaan, sekali gus mencalar reputasi institusi sami dalam masyarakat Buddha Thailand. -The Merdeka Times