Connect with us

Terkini

Pemandu ada rekod 18 saman termasuk pandu laju, bas 21 saman

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri
  • Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata daripada 18 saman itu, sebanyak 13 saman dikeluarkan atas kesalahan memandu laju, satu kesalahan kemalangan, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.
  • “Semua 18 saman itu masih belum diselesaikan lagi,” katanya dipetik Harian Metro hari ini yang turut memaklumkan bahawa  siasatan juga mendapati bas terbabit mempunyai 21 rekod saman dikeluarkan atas kesalahan trafik.
  • Bagaimanapun rekod saman ke atas bas terbabit 16 sudah dijatuhkan hukuman, manakala baki lima saman masih dalam siasatan.

KUALA LUMPUR — Sebanyak 18 saman pernah dikeluarkan ke atas pemandu bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi semalam sehingga mengorbankan 15 mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata daripada 18 saman itu, sebanyak 13 saman dikeluarkan atas kesalahan memandu laju, satu kesalahan kemalangan, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.

“Semua 18 saman itu masih belum diselesaikan lagi,” katanya dipetik Harian Metro hari ini yang turut memaklumkan bahawa  siasatan juga mendapati bas terbabit mempunyai 21 rekod saman dikeluarkan atas kesalahan trafik.

Bagaimanapun katanya, rekod saman ke atas bas terbabit 16 sudah dijatuhkan hukuman, manakala baki lima saman masih dalam siasatan.

Media sebelum ini melaporkan dalam kemalangan yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang disewa khas dari Jertih ke Tanjung Malim terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan jenis Perodua Alza di JRTB berhampiran Tasik Banding.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.

Sementara itu, pemandu bas terbabit yang kini dirawat di Hospital Taiping, Perak dilapor memohon maaf kepada keluarga mangsa dan pelajar yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39 mendakwa dalam nahas itu brek bas secara tiba-tiba gagal berfungsi ketika melalui jambatan lintasan gajah di Gerik, dan angin bas juga kosong menyebabkan semuanya jadi tidak berfungsi, termasuk brek tangan dan gear tidak boleh ditukar.

PDRM semalam dilapor akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan terbabit.

Mohd Yusri berkata PDRM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan pihak berkaitan akan menyiasat nahas itu secara menyeluruh.

“Kita akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kita mendakwa pemandu (bas) terbabit di mahkamah.

“Kita akan menyiasat dalam pelbagai sudut dari segi rekod (kesalahan), latar belakang, kegiatan dan kerjaya dia sebelum ini, kita akan siasat semuanya,” katanya. — The Merdeka Times

Author