Terkini
‘Orang nampak saya laju sedangkan saya cuba elak kenderaan lain…’ – Pemandu bas

- Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, ialah pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar UPSI di Jalan Jeli-Gerik, awal pagi semalam.
- Dia menjelaskan bas yang dalam perjalanan dari Terengganu itu awalnya berkeadaan baik sehingga tiba di jambatan lintasan gajah di Gerik.
- “Secara tiba-tiba, saya dapati brek bas tidak berfungsi dan angin bas juga kosong.
- “Saya cuba mengelak kenderaan lain supaya tidak merempuh mereka dan seingat saya, empat kenderaan saya elak termasuk lori sebelum kejadian.
- “Oleh sebab nahas berlaku di kawasan selekoh, saya tak mampu berbuat apa-apa,” katanya dipetik BH hari ini.
KUALA LUMPUR — “Saya minta maaf kepada keluarga mangsa dan pelajar yang terbabit dalam kemalangan pagi semalam, brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba.”
Demikian kata Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli-Gerik, awal pagi semalam.
Berpengalaman memandu bas sejak 2016, Mohd Amirul menjelaskan bas yang dalam perjalanan dari Terengganu itu awalnya berkeadaan baik sehingga tiba di jambatan lintasan gajah di Gerik.
“Secara tiba-tiba, saya dapati brek bas tidak berfungsi dan angin bas juga kosong.
“Saya cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas kosong, semuanya jadi tidak berfungsi termasuk brek tangan manakala gear juga tidak boleh ditukar.
“Saya cuba mengelak kenderaan lain supaya tidak merempuh mereka dan seingat saya, empat kenderaan saya elak termasuk lori sebelum kejadian.
“Kenderaan terakhir saya potong adalah kereta yang mempunyai dashcam. Ketika itu saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.
“Orang nampak saya memotong dan bawa laju sedangkan sebelum itu saya cuba mengelak daripada melanggar kenderaan lain.
“Oleh sebab nahas berlaku di kawasan selekoh, saya tak mampu berbuat apa-apa,” katanya dipetik BH hari ini.
Mohd Amirul yang kini dirawat di Hospital Taiping, Perak berkata ketika kejadian dia menjerit kepada pelajar supaya bersedia dan berjaga-jaga sebaik menyedari brek bas tidak berfungsi.
Katanya, mereka yang duduk di kerusi depan mungkin mendengar arahan tersebut, tetapi bagi mereka yang berada di belakang kebanyakannya tidur dan menyangka dia sedang marah.
“Saya jangka bas bergerak dalam keadaan brek tidak berfungsi sejauh lebih satu kilometer dan sebagai pemandu bas, saya cuba mengelak kemalangan,” katanya yang turut menafikan dia memandu secara laju seperti yang tular kerana dia arif dengan laluan Jeli-Gerik, lebih-lebih lagi lokasi kejadian menuruni bukit.
Nahas itu menyebabkan beliau pengsan seketika sebelum sedar dan menjerit meminta pelajar keluar menerusi cermin hadapan bas yang pecah.
“Saya merangkak keluar dan menangis melihat keadaan semua pelajar. Allah uji saya dengan kemalangan berat ini.
“Ini pertama kali saya terbabit dalam kemalangan mengorbankan nyawa dan sebagai pemandu bas, sudah tentu saya rasa sangat bersalah.
“Saya hanya mampu meminta maaf kepada semua dan serahkan kepada pihak polis,” katanya yang berasal di Besut, Terengganu dan kini menunggu untuk menjalani pembedahan di tangan kiri. — The Merdeka Times
