Terkini
Nahas UPSI: Dewan Muda Alternatif tuntut lesen pemandu, syarikat bas digantung serta-merta

- Ketua Koordinator Program DMA, Wee Khai Nern berkata sebagai seorang mahasiswa perantau dari Pantai Timur, beliau merasa sedih dan simpati dengan pemergian 15 mahasiswa terbabit yang mana disebabkan kemalangan itu juga, 15 impian anak muda tidak dapat dicapai.
- Tragedi itu menambah deretan berita kemalangan jalan raya tragis yang berlaku akhir-akhir ini, termasuk kemalangan melibatkan anggota FRU.
- Ini jelas menunjukkan langkah tegas dan segera perlu diambil untuk tangani isu keselamatan jalan raya yang semakin membimbangkan di Malaysia.
- “Kami memohon agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk gantung serta-merta lesen syarikat bas yang terlibat sehingga siasatan selesai dan tindakan undang-undang diambil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
KUALA LUMPUR — Susulan nahas tragis mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Dewan Muda Alternatif (DMA) menuntut supaya lesen pemandu dan syarikat bas yang terlibat dalam nahas itu digantung serta-merta.
Ketua Koordinator Program DMA, Wee Khai Nern berkata sebagai seorang mahasiswa perantau dari Pantai Timur, beliau merasa sedih dan simpati dengan pemergian 15 mahasiswa terbabit yang mana disebabkan kemalangan itu juga, 15 impian anak muda tidak dapat dicapai.
Beliau berkata tragedi itu menambah deretan berita kemalangan jalan raya tragis yang berlaku akhir-akhir ini, termasuk kemalangan melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
“Ini jelas menunjukkan bahawa langkah tegas dan segera perlu diambil untuk menangani isu keselamatan jalan raya yang semakin membimbangkan di Malaysia.
“Kami memohon agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk gantung serta-merta lesen syarikat bas yang terlibat sehingga siasatan selesai dan tindakan undang-undang diambil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri semalam dilapor berkata terdapat 18 saman pernah dikeluarkan kepada pemandu bas yang membawa pelajar UPSI terbabit, di mana 13 daripadanya adalah atas kesalahan memandu laju, satu kesalahan kemalangan, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.
Beliau berkata kesemua saman itu masih belum diselesaikan lagi, sementara siasatan juga mendapati bas terbabit turut mempunyai 21 rekod saman dikeluarkan atas kesalahan trafik.
Bagaimanapun katanya, rekod saman ke atas bas terbabit 16 sudah dijatuhkan hukuman, manakala baki lima saman masih dalam siasatan.
Sementara itu, Khai Nern turut meminta pihak berkuasa supaya melaksanakan penambahbaikan dan pelebaran jalan berisiko tinggi bagi meningkatkan keselamatan, selain memperketatkan pemeriksaan berkala ke atas kenderaan berat dan pengangkutan awam, termasuk audit rekod pemandu dan penyelenggaraan kenderaan.
Turut dituntut adalah pelaksanaan pengecaman dan pemantauan dengan sistem Artificial Intelligence had laju automatik bagi memastikan pematuhan had laju kenderaan komersial.
“Jalan Raya Timur-Barat bukan sekadar jalan utama. Ia adalah nadi penghubung jutaan anak perantau yang keluar merentasi banjaran, mencari rezeki, menimba ilmu dengan harapan membawa semula impian dan cita-cita mereka ke kampung halaman,” tambahnya.
DMA merupakan sebuah rangkaian belia anak perantau Kelantan yang beraspirasi memperkasa pendidikan demokrasi, pembangunan kepimpinan, dan penyelidikan dasar awam. — The Merdeka Times
