Connect with us

Antarabangsa

Didakwa ‘Pendatang’: 7000 rumah Muslim dirobohkan tanpa proses adil di Gujarat

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Penduduk yang terjejas.
  • Pihak berkuasa mendakwa operasi itu dilakukan atas alasan keselamatan negara susulan serangan di Pahalgam pada 26 April.
  • Perobohan ini diteruskan selepas Mahkamah Tinggi Gujarat membenarkan operasi serupa pada 28 April, atas alasan kawasan tasik Chandola merupakan tanah milik kerajaan dan pembinaan di atasnya adalah haram.
  • Ramai penduduk yang terjejas telah menetap di kawasan tersebut lebih 40 tahun dan mempunyai dokumen rasmi seperti kad pengundi dan kad Aadhaar.
  • Mujahid Nafees daripada Jawatankuasa Penyelaras Minoriti Gujarat menyifatkan tindakan ini sebagai cubaan sistematik untuk menindas masyarakat Muslim tanpa menyediakan sebarang penempatan alternatif.

AHMEDABAD – Lebih 7,000 rumah, kebanyakannya milik komuniti Muslim, telah dirobohkan dalam operasi besar-besaran yang dilancarkan oleh Perbadanan Perbandaran Ahmedabad (AMC) di kawasan Chandola Talab, Gujarat pada Selasa.

Tindakan ini menyebabkan ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal.

Pihak berkuasa mendakwa operasi itu dilakukan atas alasan keselamatan negara susulan serangan di Pahalgam pada 26 April.

Mereka mendakwa kawasan tersebut telah diduduki oleh pendatang tanpa dokumen dari Bangladesh. Sejak serangan itu, lebih 6,500 orang, majoritinya Muslim, telah ditahan untuk pemeriksaan kewarganegaraan.

Perobohan ini diteruskan selepas Mahkamah Tinggi Gujarat membenarkan operasi serupa pada 28 April, atas alasan kawasan tasik Chandola merupakan tanah milik kerajaan dan pembinaan di atasnya adalah haram.

Sebanyak 4,000 pondok di kawasan Siyasatnagar dan Bengali Vaas telah dirobohkan ketika itu.

Ramai penduduk yang terjejas merupakan pekerja harian, pengutip sampah dan pendatang dari negeri lain seperti Rajasthan, Madhya Pradesh dan Bengal. Kebanyakan mereka telah menetap di kawasan tersebut lebih 40 tahun dan mempunyai dokumen rasmi seperti kad pengundi dan kad Aadhaar.

Aktivis masyarakat dan badan-badan Islam negeri mengecam tindakan kerajaan sebagai tidak berperikemanusiaan.

Mujahid Nafees daripada Jawatankuasa Penyelaras Minoriti Gujarat menyifatkan tindakan ini sebagai cubaan sistematik untuk menindas masyarakat Muslim tanpa menyediakan sebarang penempatan alternatif.

Beliau turut mendedahkan bahawa lebih 1,000 penduduk telah ditahan atas dakwaan sebagai warga Bangladesh, namun 850 daripada mereka kemudian dibebaskan selepas disahkan sebagai warganegara India.

“Ini adalah cubaan untuk menutup kegagalan pentadbiran dengan menghukum masyarakat secara kolektif,” katanya.

Wasif Hussain dari Jamaat-e-Islami Hind Gujarat turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan jentolak yang dianggap keterlaluan. Beliau berkata, ramai penduduk dipaksa keluar dalam keadaan tergesa-gesa tanpa sebarang persediaan, walaupun mereka mempunyai dokumen kewarganegaraan yang sah.

Pihak aktivis menuntut agar kerajaan segera menyediakan penempatan alternatif untuk semua penduduk yang terjejas. Mereka juga menyeru agar operasi perobohan dihentikan dan pendekatan yang lebih berperikemanusiaan diamalkan oleh pihak berkuasa. -The Merdeka Times

Author