Terkini
Didakwa hantar mesej lucah kepada remaja, CEO Batu ditahan polis

- Pempengaruh media sosial itu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar beberapa mesej berunsur lucah kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.
- Dia serah diri di IPD Gombak, semalam sebelum ditahan dan direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
KUALA LUMPUR — Pempengaruh media sosial dikenali sebagai CEO Batu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar beberapa mesej berunsur lucah kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.
Memetik laporan Harian Metro, lelaki berusia 22 tahun, itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam sebelum ditahan dan direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Senior Asisten Komisioner, Siti Kamsiah Hassan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Media tempatan sebelum ini melaporkan pempengaruh itu didakwa menghantar beberapa kiriman mesej, termasuk gambar tidak senonoh kepada remaja bawah umur tersebut.
Perbuatan tersebut terbongkar selepas ibu remaja itu menghubungi seorang penyanyi rap yang juga pempengaruh untuk meminta bantuan selepas mendapati lelaki terbabit menghantar gambar tidak sepatutnya kepada anaknya.— The Merdeka Times
