Terkini
Mentega Terbang: Pertuduhan sah ikut Perlembagaan, kes dikembalikan ke Mahkamah Majistret

- Pengarah dan penerbit filem kontroversi, Mentega Terbang gagal dalam permohonan mereka untuk merujuk persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Tinggi berhubung pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain, dua tahun lalu.
- Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy menolak permohonan pengarah terbabit, Mohd Khairianwar Jailani, 33, dan penerbit, Tan Meng Kheng, 38, untuk menentukan sama ada pertuduhan dikenakan terhadap mereka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK) itu melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara.
- Dalam penghakimannya, Muniandy berkata pertuduhan dikenakan terhadap kedua-dua pemohon itu adalah sah dan mengikut Perlembagaan.
KUALA LUMPUR — Pengarah dan penerbit filem kontroversi, Mentega Terbang gagal dalam permohonan mereka untuk merujuk persoalan berkait Perlembagaan ke Mahkamah Tinggi berhubung pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy menolak permohonan pengarah terbabit, Mohd Khairianwar Jailani, 33, dan penerbit, Tan Meng Kheng, 38, untuk menentukan sama ada pertuduhan dikenakan terhadap mereka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK) itu melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara.
Dalam penghakimannya, Muniandy berkata pertuduhan dikenakan terhadap kedua-dua pemohon itu adalah sah dan mengikut Perlembagaan.
“Dalam kes ini, mahkamah mendapati permohonan pemohon untuk membatalkan Seksyen 298 adalah tidak berasas.
“Mahkamah juga berpendapat tiada isu perlembagaan yang perlu dirujuk bagi menentukan prosiding jenayah di Mahkamah Majistret,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.
Muniandy berkata penggunaan Seksyen 298 KK adalah sesuai dengan populasi Malaysia yang pelbagai kaum dan agama, justeru tindakan menjaga sensitiviti populasi, kaum serta agama adalah amat penting.
“Bagi Seksyen 298 KK, undang-undang ini masih kekal berkuat kuasa untuk menjaga keselamatan dalam negeri, termasuk ketenteraman awam.
“Seksyen 298 ini didapati sah dan mengikut Perlembagaan serta kekal berkuat kuasa mengikut Artikel 162 Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, permohonan pemohon ditolak,” katanya.
Susulan keputusan hakim itu, kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Majistret di sini untuk dibicarakan.
Sementara itu, peguam kedua-dua pemohon, N Surendran ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.
Dalam permohonan difailkan sebelum ini, Mohd Khairianwar dan Meng Kheng mendakwa keputusan kerajaan mengharamkan filem itu adalah tidak rasional dan melanggar kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mereka mendakwa keputusan itu turut menjejaskan pendapatan mereka kerana filem berkenaan tidak dapat ditayangkan atau diedarkan ke mana-mana dalam negara.
Mengikut pertuduhan, Mohd Khairianwar dan Meng Kheng didakwa berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek dalam penglihatan orang, dengan berperanan sebagai pengarah, penulis skrip serta penerbit Mentega Terbang.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Filem ditayang menerusi platform penstriman video itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.
Ia mengisahkan tentang Aisyah, remaja berusia 16 tahun yang mengkaji kitab suci pelbagai agama untuk mencari jawapan tentang kehidupan selepas mati dan tertarik pada kepercayaan kelahiran semula.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.— The Merdeka Times
