Connect with us

Terkini

‘Zakir Naik tidak pernah dikenakan perintah larangan bercakap’ – Peguam

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader
  • Pendakwah bebas dari India, Dr Zakir Naik yang baru-baru ini mencetuskan perhatian susulan kenyataannya mengenai usaha mengislamkan penganut bukan Islam dalam satu konvensyen di Perlis bulan lalu, tidak pernah dikenakan perintah larangan bercakap pada 2019, kata peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader.
  • Akberdin berkata penceramah itu sebaliknya hanya dinasihatkan oleh polis supaya tidak membincangkan isu-isu sensitif berkaitan agama lain.
  • “Mereka (polis) telah menasihatkannya supaya tidak bercakap mengenai isu agama yang sensitif dan perbandingan agama kerana beliau sebelum ini sering bercakap tentang Hindu dan Kristian. Sebab itu anda dapat melihat beliau kini bercakap mengenai banyak perkara lain selain daripada topik agama lain.
  • “Tetapi apa pun, saya tidak pernah melihat sebarang perintah larangan – yang bermaksud satu perintah bertulis daripada polis – yang menyatakan beliau langsung tidak boleh bercakap (di khalayak umum),” katanya dipetik media berbahasa Inggeris, Scoop pada Rabu.

KUALA LUMPUR — Pendakwah bebas dari India, Dr Zakir Naik yang baru-baru ini mencetuskan perhatian susulan kenyataannya mengenai usaha mengislamkan penganut bukan Islam dalam satu konvensyen di Perlis bulan lalu, tidak pernah dikenakan perintah larangan bercakap pada 2019, kata peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Akberdin berkata penceramah itu sebaliknya hanya dinasihatkan oleh polis supaya tidak membincangkan isu-isu sensitif berkaitan agama lain.

“Saya telah menasihati dan bertindak sebagai peguamnya dalam semua kes mahkamah sejak hari pertama, (dan saya boleh katakan) beliau tidak pernah menerima sebarang perintah rasmi daripada pihak polis yang melarangnya daripada memberi ceramah,” katanya dipetik media berbahasa Inggeris, Scoop pada Rabu.

Menurut Scoop, penjelasan peguam itu dibuat susulan spekulasi bahawa satu perintah larangan telah dikenakan terhadap Zakir selepas ucapan awamnya di Kota Bharu, Kelantan, pada 2019.

“Mereka (polis) telah menasihatkannya supaya tidak bercakap mengenai isu agama yang sensitif dan perbandingan agama kerana beliau sebelum ini sering bercakap tentang Hindu dan Kristian. Sebab itu anda dapat melihat beliau kini bercakap mengenai banyak perkara lain selain daripada topik agama lain.

“Tetapi apa pun, saya tidak pernah melihat sebarang perintah larangan – yang bermaksud satu perintah bertulis daripada polis – yang menyatakan beliau langsung tidak boleh bercakap (di khalayak umum),” katanya.

Akberdin menegaskan bahawa jika benar wujud perintah larangan tersebut, pihak polis pasti sudah menghalang Zakir daripada berucap di Perlis International Sunnah Convention 2025 yang berlangsung di Kangar dari 24 hingga 26 Januari lalu.

Zakir yang merupakan penceramah jemputan di Perlis International Sunnah Convention 2025, dilaporkan telah menggesa umat Islam di Malaysia supaya menggandakan usaha menyebarkan Islam kepada penganut bukan Islam.

Menerusi satu video dimuat naik ke saluran Dr Zakir Naik Answers di YouTube pada 29 Januari, Zakir mendakwa rakyat Malaysia tidak menggunakan sepenuhnya undang-undang yang membenarkan penyebaran Islam kepada bukan Islam. Beliau turut mengingatkan umat Islam tempatan perlu menjawab di akhirat kerana mereka dianggap kurang usaha dakwah.

Mengulas mengenai kenyataan anak guamnya, Akberdin berkata Zakir hanya merujuk kepada undang-undang sedia ada yang membenarkan umat Islam menyebarkan Islam kepada bukan Islam, sementara melarang perkara sebaliknya.

Kelmarin, Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer turut membangkitkan persoalan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemunculan  Zakir Naik yang sebelum ini dikatakan dilarang berceramah di negara ini, namun baru-baru ini dilaporkan berceramah dalam satu program di Perlis.

Rayer menyoal kepada pihak PDRM sama ada larangan itu masih berkuatkuasa dan sekiranya masih berkuatkuasa mengapa Zakir tidak mematuhi larangan tersebut.

Susulan itu, Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle dilaporkan tampil menjelaskan bahawa ceramah dilakukan Zakir di Kangar baru-baru ini sudah mendapat kebenaran Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Isu (hal ehwal) agama terletak dalam kuasa kerajaan negeri,” katanya dipetik Malaysiakini semalam yang turut berharap mana-mana ahli parlimen bukan Muslim tidak mencampuri urusan orang Islam. — The Merdeka Times

Author