Politik
‘Adakah larangan Zakir Naik berceramah masih berkuat kuasa?’ – soal Ahli Parlimen DAP

- Persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer susulan ada laporan portal berita bahawa Zakir telah memberi ceramah terbuka di Perlis baru-baru ini.
- “Saya difahamkan PDRM telah mengumumkan pada 20 Ogos 2019 bahawa Zakir Naik dilarang daripada membuat apa-apa kenyataan ataupun ceramah agama di Malaysia.
- “Saya nak tanya kepada PDRM terutamanya Ketua Polis Negara adakah larangan ini masih berkuat kuasa?
- “Sekiranya laporan ini benar persoalan saya adalah kenapakah Zakir Naik tidak mematuhi larangan dikenakan ke atas beliau?” kata Rayer pada sidang media di Parlimen semalam.
KUALA LUMPUR —Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer membangkitkan persoalan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemunculan pendakwah bebas dari India, Dr Zakir Naik yang sebelum ini dikatakan dilarang berceramah di negara ini.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Jelutong itu susulan terdapat laporan sebuah portal berita bahawa Zakir telah membuat satu ucapan ataupun dakwah terbuka di Perlis baru-baru ini.
“Saya difahamkan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia telah mengumumkan pada 20 Ogos 2019 bahawa Zakir Naik dilarang daripada membuat apa-apa kenyataan ataupun ceramah agama di Malaysia.
“Saya nak tanya kepada PDRM terutamanya Ketua Polis Negara adakah larangan ini masih berkuat kuasa?
“Kalau larangan ini masih berkuat kuasa baru-baru ini portal The Scoop telah melaporkan bahawa Zakir Naik telah membuat satu ucapan ataupun membuat dakwah terbuka di satu majlis di Kangar pada 2 Februari 2025.
“Sekiranya laporan ini benar persoalan saya adalah kenapakah Zakir Naik tidak mematuhi larangan dikenakan ke atas beliau?
“Larangan ataupun sekatan ke atas beliau di mana beliau dilarang untuk berucap atau berdakwah secara terbuka?” kata Rayer pada sidang media di Parlimen di sini semalam.
Rayer turut mempersoalkan sekiranya larangan itu masih berkuat kuasa, adakah pihak polis akan mengambil tindakan menyiasat dan menuduh Zakir di mahkamah.
Jika PDRM tegas, katanya, tidak wajar ada sikap dwi standard di antara rakyat tempatan atau warganegara asing yang datang ke negara ini dalam aspek pematuhan undang-undang.
Pada 20 Ogos 2019, BERNAMA melaporkan semua program berkaitan Zakir Naik di seluruh negara adalah tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, menurut Free Malaysia Today pada Dis 2021, Zakir menafikan perkara itu, dan berkata tiada arahan sedemikian disampaikan kepadanya oleh polis. Beliau juga mendakwa telah mengesahkan perkara tersebut dengan ketua setiausaha kerajaan ketika itu.– The Merdeka Times
