Terkini
Majoriti rakyat beragama Islam, Malaysia sukar terima gagasan negara sekular

- Gagasan membentuk negara sekular sukar diterima dalam konteks sosial masyarakat Malaysia kerana majoriti warganegaranya beragama Islam terutama bagi masyarakat Melayu yang kuat berpegang kepada agama Islam.
- Pakar dalam kajian etnik dan sosiologi perlembagaan, Prof Dr Nazri Muslim berkata di Semenanjung dapat dilihat bahawa isu berkenaan Islam dan Melayu menjadi sesuatu yang amat sensitif khususnya untuk orang Melayu seperti kes Natrah, Lina Joy dan sebagainya.
- Islam juga bukan sahaja sudah bertapak dan mendominasi dalam cara hidup masyarakat Malaysia khususnya Melayu, malah ia diterima baik oleh komuniti bukan Melayu yang bersandarkan kepada semangat kerjasama dan saling menghormati.
- “Keharmonian rakyat Malaysia bergantung kepada bagaimana isu sensitive seperti Islam dan Melayu dimainkan oleh pihak tertentu sebagai contoh Peristiwa 13 Mei 1969 sehingga dilarang dibincangkan secara terbuka dan boleh didakwa di bawah Akta Hasutan,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
KUALA LUMPUR — Gagasan membentuk negara sekular sukar diterima dalam konteks sosial masyarakat Malaysia kerana majoriti warganegaranya beragama Islam terutama bagi masyarakat Melayu yang kuat berpegang kepada agama Islam.
Pakar dalam kajian etnik dan sosiologi perlembagaan, Prof Dr Nazri Muslim berkata di Semenanjung dapat dilihat bahawa isu berkenaan Islam dan Melayu menjadi sesuatu yang amat sensitif khususnya untuk orang Melayu seperti kes Natrah, Lina Joy dan sebagainya.
Nazri berkata selain daripada itu Islam juga bukan sahaja sudah bertapak dan mendominasi dalam cara hidup masyarakat Malaysia khususnya Melayu, malah ia diterima baik oleh komuniti bukan Melayu yang bersandarkan kepada semangat kerjasama dan saling menghormati.
“Keharmonian rakyat Malaysia bergantung kepada bagaimana isu sensitive seperti Islam dan Melayu dimainkan oleh pihak tertentu sebagai contoh Peristiwa 13 Mei 1969 sehingga dilarang dibincangkan secara terbuka dan boleh didakwa di bawah Akta Hasutan,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Malaysia dari sudut sosial boleh berjaya sebagai sebuah negara sekular daripada sudut keharmonian, pentadbiran kerajaan dan kesejahteraan hidup rakyat.
Gabungan NGO Belia Islam Malaysia pada Disember lalu menolak sekeras-kerasnya semua gerakan sekularisme di Malaysia dan sekutu-sekutu mereka, terutama Sisters In Islam (SIS) dan DAP (ia ketika ini menjadi sebahagian daripada Kerajaan), yang dikatakan secara konsisten ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular.
Mengulas lanjut, Nazri berkata kedudukan Islam dari sudut Perlembagaan Persekutuan adalah jelas, di mana ia mempunyai keistimewaan berbanding agama lain.
“Jika dikaji dari sudut negara secular, jelas bahawa Malaysia adalah negara Islam kerana banyak peruntukan mengenai Islam dalam perlembagaan seperti dalam Perkara 3, Perkara 11, Perkara 12, Perkara 121 dan kedudukan institusi beraja yang bertanggungjawab memelihara kedudukan agama Islam, yang menolak hujah bahawa Malaysia adalah negara secular,” katanya. — The Merdeka Times
