Politik
KK Mart segera tetapkan SOP pembelian, tindakan cuai jejas imej Halal Malaysia – Ahli Parlimen PKR

- KK Mart digesa semak semula mekanisme pembelian dalaman syarikat, termasuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pembelian dan umumkan keputusan kepada awam susulan isu penjualan ‘sandwich ham’ berlogo halal.
- Ahli Parlimen Petaling Jaya dari PKR, Lee Chean Chung berkata sekadar mendakwa pembekal adalah tidak memadai, sebaliknya sebagai usahawan Malaysia, KK Mart harus menunjukkan teladan sebuah syarikat prihatin yang mempunyai tanggungjawab sosial.
- Sebagai sebuah kedai rantaian yang besar dan terkenal, seharusnya KK Mart mengambil pengajaran dan memperketatkan kawalan dalaman mereka untuk menjaga sensitiviti pelanggan pelbagai latar belakang.
-
“Tindakan cuai segelintir pengusaha tempatan berkemungkinan bakal menjejaskan imej Malaysia sebagai peneraju industri halal dan yang telah mengekalkan kedudukan di tangga pertama untuk tahun yang ke-10 dalam kedudukan State of the Global Islamic Economy (SGIE),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
KUALA LUMPUR — KK Mart digesa menyemak semula mekanisme pembelian dalaman syarikat, termasuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pembelian dan mengumumkan keputusan itu kepada orang ramai susulan isu penjualan ‘sandwich ham’ yang mempunyai logo halal.
Ahli Parlimen Petaling Jaya dari PKR, Lee Chean Chung berkata sekadar mendakwa pembekal adalah tidak memadai, sebaliknya sebagai usahawan Malaysia, KK Mart harus menunjukkan teladan sebuah syarikat prihatin yang mempunyai tanggungjawab sosial.
Chean Chung yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN berkata insiden KK Mart menjual sandwic ham yang mana sijil halalnya sudah lupus adalah satu insiden yang mendukacitakan tambahan lagi apabila ia berlaku kurang setahun selepas insiden “stokin” yang turut membabitkan KK Mart.
Katanya, sebagai sebuah kedai rantaian yang besar dan terkenal, seharusnya KK Mart mengambil pengajaran dan memperketatkan kawalan dalaman mereka untuk menjaga sensitiviti pelanggan pelbagai latar belakang.
“Harus diketahui bahawa negara Malaysia selalu berusaha mengembangkan industri halal kita yang dikagumi sedunia, dan pengiktirafan tersebut makin diterima pakai oleh pengusaha dan pelabur antarabangsa.
“Sumbangan industri Halal kepada KDNK Malaysia disasarkan sebanyak 8.1% bersamaan RM137.6 bilion pada tahun 2025, dan meningkat kepada 10.8% bersamaan RM260 bilion pada tahun 2030. Pada tahun 2022, saiz pasaran asas industri Halal global ialah AS$2.2 trilion, manakala saiz pasaran potensi industri Halal global ialah AS$9.3 trilion.
“Tindakan cuai segelintir pengusaha tempatan berkemungkinan bakal menjejaskan imej Malaysia sebagai peneraju industri halal dan yang telah mengekalkan kedudukan di tangga pertama untuk tahun yang ke-10 dalam kedudukan State of the Global Islamic Economy (SGIE),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Lee Chean Chung.
Pada Isnin, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Supermart) dilaporkan membekukan sementara urusan perniagaan dengan syarikat pengeluar sandwic ‘ham and cheese’ dalam tempoh siasatan susulan isu penggunaan logo halal yang diragui pada produk itu.
Syarikat peruncitan tempatan itu memaklumkan, pihaknya turut menghentikan kemasukan produk berkenaan di 16 KK Concept Store dan menutup dua premis di Universiti Malaya (UM) untuk siasatan lanjut.
UM baru-baru ini mengarahkan penutupan serta-merta dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic diragui status halal.
JAKIM turut mengesahkan produk makanan ‘ham dan cheese’ yang dijual di sebuah kedai serbaneka di UM didapati tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, lapor Kosmo.
Isu sandwic ham itu merupakan insiden kedua membabitkan KK Mart selepas 14 Mac 2024, pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) berkenaan dilaporkan memohon maaf susulan video tular penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.
Insiden kontroversi itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam hinggakan terdapat gesaan supaya kedai serbaneka terbabit diboikot dan ia semakin hangat apabila ada individu membuat komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah, termasuk seorang lelaki menyindir reaksi Muslim yang dilihat terlalu ‘sensitif’ dengan isu berkenaan. — The Merdeka Times
