Terkini
Kerajaan Perak tiada halangan MBI kaji larangan jual arak di kawasan majoriti Islam

- Kerajaan Perak tiada halangan untuk MBI teruskan kajian cadangan luaskan larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam sebagaimana dilaksanakan di Gugusan Manjoi, Ipoh.
- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ia di peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri.
- MBI perlu melakukan kajian menyeluruh supaya cadangan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam.
- “Kerajaan Negeri tegaskan sebarang ketetapan yang dibuat hendaklah bersifat inklusif ,” katanya menerusi kenyataan media yang dimuat naik Setiausaha Politiknya, Mohammad Hamidi Baharuddin di Facebook hari ini.
KUALA LUMPUR — Kerajaan Perak tiada halangan untuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meneruskan kajian berkenaan cadangan meluaskan larangan penjualan minuman keras di dalam kawasan majoriti penduduk Islam sebagaimana dilaksanakan di Gugusan Manjoi, Ipoh.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata MBI sedang di peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri.
Saarani berkata MBI perlu melakukan kajian menyeluruh supaya cadangan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam, tetapi mengambil kira keperluan mewujudkan peraturan yang dapat menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Katanya, kajian itu akan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk data demografi dan meneliti secara terperinci penetapan zon bagi pelaksanaan cadangan tersebut berdasarkan Kelas Guna Tanah (KGT) yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (RTBI) 2035.
“Kerajaan Negeri tiada halangan untuk MBI meneruskan kajian tersebut mengikut bidang kuasa MBI yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 selain pematuhan peraturan minuman beralkohol/ peraturan-peraturan makanan 1985 dan Akta Makanan 1983.
“Kerajaan Negeri menegaskan bahawa sebarang ketetapan yang dibuat hendaklah bersifat inklusif dengan mengambil kira maklum balas masyarakat, mencerminkan kehendak sebenar penduduk setempat dan mestilah selari dengan panduan undang-undang yang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan media yang dimuat naik Setiausaha Politiknya, Mohammad Hamidi Baharuddin di Facebook hari ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Mohamad Hamidi Baharuddin.
Terdahulu, cadangan memperluaskan pelaksanaan larangan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk beragama Islam yang dibangkitkan MBI menyaksikan perdebatan pelbagai pihak, termasuk beberapa pemimpin politik parti kerajaan dan pembangkang.
Pada 18 Jan lalu, MBI dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan larangan penjualan arak atau minuman keras di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu-Muslim.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata ketika ini, penguatkuasaan larangan itu hanya terpakai di kawasan Gugusan Manjoi sejak 2021 dan berikutan itu juga terdapat tuntutan serupa daripada penduduk kawasan lain yang didiami majoriti Melayu-Islam, termasuk di kawasan Ulu Chepor.
Baru-baru ini juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan ‘status quo’ atau dasar sedia ada berhubung jualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan seliaan masing-masing. — The Merdeka Times
