Terkini
Majlis Bandaraya Ipoh pertimbang luaskan larangan jualan arak di kawasan majoriti Melayu-Muslim

- Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata ini berikutan ada beberapa cadangan dan tuntutan dikemukakan beberapa pihak berhubung perkara itu, namun kelulusan berkenaannya bergantung kepada jumlah tuntutan disuarakan penduduk dan keperluan semasa di kawasan berkenaan.
- Ketika ini penguatkuasaan larangan itu hanya terpakai di kawasan Gugusan Manjoi sejak tahun 2021 dan berikutan itu juga terdapat tuntutan yang serupa daripada penduduk kawasan lain yang didiami majoriti Melayu-Islam, termasuk di kawasan Ulu Chepor.
- “Secara prinsip kita setuju, tetapi kita nak tengok dan buat kajian satu per satu di kawasan itu,” katanya dipetik Berita Harian selepas merasmikan pembukaan Restoran Feng Cha di Pusat Perdagangan Canning II, di Ipoh pada Sabtu.
KUALA LUMPUR — Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan larangan penjualan arak atau minuman keras di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu-Muslim.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata ini berikutan ada beberapa cadangan dan tuntutan dikemukakan beberapa pihak berhubung perkara itu, namun kelulusan berkenaannya bergantung kepada jumlah tuntutan disuarakan penduduk dan keperluan semasa di kawasan berkenaan.
Rumaizi berkata ketika ini penguatkuasaan larangan itu hanya terpakai di kawasan Gugusan Manjoi sejak tahun 2021 dan berikutan itu juga terdapat tuntutan yang serupa daripada penduduk kawasan lain yang didiami majoriti Melayu-Islam, termasuk di kawasan Ulu Chepor.
“Semalam (Jumaat), memang ada satu kelulusan dasar MBI untuk mengkaji perkara itu.
“Bila ada tuntutan penduduk di kawasan yang majoritinya orang Melayu-Islam, maka kita bincang dan secara umumnya kita terima tuntutan itu serta pertimbangkan mengikut kesesuaian kawasan.
“Sekarang ini, kita tahu dekat kawasan gugusan Manjoi memang tiada (premis penjualan arak) disebabkan dulu ada bantahan kuat daripada masyarakat setempat.
“Secara prinsip kita setuju, tetapi kita nak tengok dan buat kajian satu per satu di kawasan itu,” katanya dipetik Berita Harian selepas merasmikan pembukaan Restoran Feng Cha di Pusat Perdagangan Canning II, di Ipoh pada Sabtu.
Pada Jumaat lalu, Ahli Majlis MBI, Hamzah Hamdan memuat naik tangkap layar dalam laman Facebooknya berhubung cadangan tidak membenarkan jualan runcit dan borong bagi produk minuman keras atau alkohol.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Hamzah Hamdan.
Hamzah yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat berkata dirinya mewakili golongan belia Islam dan beberapa Ahli Majlis MBI berjuang untuk menghentikan penjualan arak atau minuman keras di kawasan orang Melayu.
Sebagai reaksi perkara itu, Rumaizi berkata selain Ulu Chepor, tuntutan sama turut dibuat penduduk kawasan sekitar Rapat Setia dan Kampung Sungai Rokam.
Beliau menjelaskan sesi bantahan dan pendengaran awam akan dijalankan jika ada keperluan.— The Merdeka Times
