Connect with us

Terkini

Status quo peraturan jual alkohol kekal – Nga Kor Ming

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming
  • “Buat masa ini, status quo kekal. Noktah. Tiada isu.
  • “Jika anda tidak dibenarkan minum, jangan beli, dan tiada siapa akan menghalang anda. Tetapi anda tidak boleh menghalang orang lain daripada membelinya,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dipetik New Straits Times selepas lawat Pasar Canning di Ipoh, Perak semalam.
  • Beliau menjawab soalan sama ada pihak berkuasa tempatan boleh memperkenalkan syarat tertentu seperti larangan penjualan alkohol di kawasan mereka.

KUALA LUMPUR — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata tidak akan ada perubahan kepada peraturan sedia ada berhubung penjualan alkohol.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata mereka yang boleh minum alkohol tidak seharusnya dihalang daripada membelinya.

“Buat masa ini, kita kekalkan status quo. Noktah. Tiada isu.

“Jika anda tidak dibenarkan minum, jangan beli, dan tiada siapa akan menghalang anda. Tetapi anda tidak boleh menghalang orang lain daripada membelinya,” katanya dipetik New Straits Times selepas melawat Pasar Canning di Ipoh, Perak semalam.

Beliau menjawab soalan sama ada pihak berkuasa tempatan boleh memperkenalkan syarat tertentu seperti larangan penjualan alkohol di kawasan mereka.

Pada 18 Jan lalu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan larangan penjualan arak atau minuman keras di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu-Muslim.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata ini berikutan ada beberapa cadangan dan tuntutan dikemukakan beberapa pihak berhubung perkara itu, namun kelulusan berkenaannya bergantung kepada jumlah tuntutan disuarakan penduduk dan keperluan semasa di kawasan berkenaan.

Rumaizi berkata ketika ini penguatkuasaan larangan itu hanya terpakai di kawasan Gugusan Manjoi sejak tahun 2021 dan berikutan itu juga terdapat tuntutan yang serupa daripada penduduk kawasan lain yang didiami majoriti Melayu-Islam, termasuk di kawasan Ulu Chepor.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata aspirasi Malaysia Madani dibina atas dasar hormat dan belas ihsan antara satu sama lain.

“Selain kemampanan, kemakmuran, inovasi dan daya saing, tunggak ini menekankan persefahaman dan pertimbangan bersama.

“Sebagai contoh, jika sebuah kedai serbaneka menjual alkohol, mereka yang dilarang meminumnya hanya perlu mengelakkan daripada membelinya. Itu sahaja. Namun, kita tidak boleh menghalang orang lain yang dibenarkan untuk minum kerana itu hak mereka. Inilah inti pati penghormatan dan saling memahami,” katanya.

Menurut Berita Harian, Kor Ming ketika mengulas isu sama menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan ‘status quo’ atau dasar sedia ada berhubung jualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan seliaan masing-masing.

“Syarikat (arak) pun syarikat tersenarai awam. Dia juga bayar cukai untuk kita bangunkan negara. Jadi kita harus adil kepada semua,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya terdapat permintaan komuniti setempat untuk menyekat jualan arak di sesuatu kawasan, PBT akan meneliti dan menilai permintaan terbabit.

Kor Ming berkata Malaysia kini atas landasan betul dan semua pihak harus fokus memelihara keharmonian. — The Merdeka Times

Author