Terkini
Top 5 ‘sneakers’ jenama tempatan menjadi pilihan rakyat Malaysia
Dalam dunia fesyen yang semakin berkembang, nama baharu pereka tempatan kini mula mendapat tempat di hati masyarakat.
Lebih-lebih lagi ketika gaya streetwear yang lebih santai, mudah, tetapi masih menarik semakin diminati peminat fesyen tidak kira usia.
Selain pakaian, semakin ramai pereka tempatan mula menerokai bidang kasut. Sudah tentu jenama kasut sneaker tempatan antara streetwear yang menjadi tumpuan.
Terdapat banyak sebab untuk menyokong jenama tempatan atau jenama Malaysia. Apabila kita membeli daripada jenama tempatan, kita turut menyumbang kepada pendapatan mereka. Ia sekaligus menggalakkan lebih banyak peluang pekerjaan tempatan diwujudkan.
Maka berikut adalah Top 5 kasut sneaker jenama tempatan yang menjadi pilihan rakyat Malaysia ketika ini :
1) SWYV
SWYV Footwear ditubuhkan pada awal tahun ini iaitu 1 Januari 2024. Walaupun merupakan jenama yang sedang meningkat naik, SWYV dilapor berjaya mencatatkan jualan sehingga 2,000 pasang kasut sepanjang enam bulan beroperasi.
Menawarkan kasut lasak yang dihasilkan daripada baldu, SWYV Footwear telah menarik minat pemakai dalam kalangan muda zaman kini.
Apa yang lebih menarik, harga yang ditawarkan juga amat berpatutan iaitu serendah RM159 dengan kualiti premium!
2) VOLTRA
Fahmi Fabilah adalah pemilik dan pengasas jenama Voltra. Beliau adalah seorang usahawan tempatan yang berjaya dalam industri fesyen streetwear sebelum ini iaitu AbstraxJingga.
Fahmi memulakan Voltra dengan visi untuk mencipta jenama kasut tempatan yang tidak hanya bergaya, tetapi juga selesa dan berkualiti tinggi.
Voltra menjadi salah satu jenama tempatan yang semakin dikenali di Malaysia kerana rekaan yang minimalis, inovatif, dan penggunaan bahan yang mampan.
3) SNIIKA
Bukan Vans, ini sebenarnya kasut ‘Slip On’ Sniika yang dicipta oleh anak Kelantan. Nama Sniika diinspirasikan daripada perkataan sneakers.
Sniika kini mempunyai lebih 10 reka bentuk yang mengangkat tema seni budaya Melayu.
Bermula dengan hanya dua pekerja iaitu pemiliknya Muhammad Bakri Yusrizal bersama seorang pekerja, kini jenama itu mempunyai enam orang dalam pasukannya yang mana daripada hanya sepasang kasut berjaya dijual dalam seminggu kepada lebih 1,000 pasang!
4) MAKERZ
Pemilik dan pengasas kasut jenama Makerz adalah Azwan Islam atau lebih dikenali sebagai Bos Wan.
Beliau mengasaskan jenama ini pada tahun 2020 dengan tujuan menggabungkan elemen budaya Malaysia dengan reka bentuk sneakers moden. Setiap reka bentuk menawarkan ketahanan dan keselesaan untuk gaya hidup aktif.
Kasut ‘cool’ yang perlu ada dalam koleksi anda!
5) SAUKASS
Jenama Saukass adalah ringkasan bagi saudagar kasut.
Pemilik yang mahu dikenali sebagai Abang Bob sebelum ini merupakan peniaga pasar malam. Beliau kemudian memberanikan diri dengan menyertai expo-expo tempatan sehinggalah lahirnya jenama Saukass.
Walaupun harga serendah RM60, kasut Saukass tetap memberikan kualiti premium buat si pemakai. Jadi apa tunggu lagi?
Ayuh ‘support’ local! – The Merdeka Times