Terkini
Rayyan Wong dibebas dengan jaminan polis
- Pemilik akaun TikTok, Rayyan Wong yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung kandungan berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Pemangku Sultan Johor dan Perdana Menteri dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin.
- Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata permohonan reman terhadap lelaki berusia 22 tahun itu ditolak mahkamah berikutan pempengaruh berkenaan telah membuat permohonan maaf menerusi akaun TikTok miliknya.
- “Dia sudah membuat permohonan maaf. Justeru, lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan,” kata Razarudin dipetik Harian Metro pada Khamis.
- Bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
KUALA LUMPUR — Pemilik akaun TikTok, Rayyan Wong yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung kandungan berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Pemangku Sultan Johor dan Perdana Menteri dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata permohonan reman terhadap lelaki berusia 22 tahun itu ditolak mahkamah berikutan pempengaruh berkenaan telah membuat permohonan maaf menerusi akaun TikTok miliknya.
“Dia sudah membuat permohonan maaf. Justeru, lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan,” kata Razarudin dipetik Harian Metro pada Khamis.
Beliau berkata bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setelah siasatan lengkap, kita akan rujuk Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pemilik akaun TikTok ditahan polis selepas pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membuat laporan berkaitan kandungan dimuat naiknya.
Dalam pada itu, pemilik akaun Tiktok terbabit dilaporkan telah mengeluarkan permohonan maaf kerana mengeluarkan kenyataan memfitnah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Perdana Menteri makan di sebuah restoran yang disyaki tidak mempunyai sijil halal.
“Saya minta maaf geng tentang kenyataan makan di restoran tiada sijil halal rupanya ia ada sijil halal. Minta maaf kekhilafan sendiri kerana tidak buat kajian lebih lanjut.
“Saya dah turunkan video itu, yang sekarang sudah cecah 2 juta orang tengok (tontonan). Saya akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya dipetik Kosmo semalam. — The Merdeka Times