Terkini
Majoriti kumpulan etnik di Malaysia berpendapat negara menuju ke arah salah
- Majoriti kumpulan etnik di Malaysia merasakan negara menuju ke arah salah, demikian menurut kajian terbaru Merdeka Center yang dijalankan antara 27 November hingga 10 Disember lalu ketika pentadbiran Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki tahun kedua.
- Kajian itu menunjukkan 55 peratus responden daripada kaum Melayu yang ditinjau berpendapat negara menuju ke arah yang salah, manakala 36 peratus kaum Melayu berpandangan negara sedang menuju ke arah betul.
- 68 peratus responden daripada kaum India turut berpandangan negara menuju ke arah yang salah, manakala hanya sebahagian kecil iaitu 18 peratus responden berpendapat sebaliknya.
- Kaum Cina dilihat berbelah-bahagi mengenai hala tuju negara di mana 47 peratus daripada kaum itu berpendapat negara sedang menuju ke arah betul, sementara 45 peratus lagi berpandangan sebaliknya.
- Secara keseluruhannya, 53 peratus responden berpandangan negara menuju ke arah yang salah (berbanding 54 peratus setahun lalu), manakala 39 peratus berpendapat negara bergerak ke arah betul.
KUALA LUMPUR — Majoriti kumpulan etnik di Malaysia merasakan negara menuju ke arah salah, demikian menurut kajian terbaru Merdeka Center yang dijalankan antara 27 November hingga 10 Disember lalu ketika pentadbiran Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki tahun kedua.
Kajian itu menunjukkan 55 peratus responden daripada kaum Melayu yang ditinjau berpendapat negara menuju ke arah yang salah, manakala 36 peratus kaum Melayu berpandangan negara sedang menuju ke arah betul.
68 peratus responden daripada kaum India turut berpandangan negara menuju ke arah yang salah, manakala hanya sebahagian kecil iaitu 18 peratus responden berpendapat sebaliknya.
Sementara itu, kaum Cina dilihat berbelah-bahagi mengenai hala tuju negara di mana 47 peratus daripada kaum itu berpendapat negara sedang menuju ke arah betul, sementara 45 peratus lagi berpandangan sebaliknya.
Secara keseluruhannya, 53 peratus responden berpandangan negara menuju ke arah yang salah (berbanding 54 peratus setahun lalu), manakala 39 peratus berpendapat negara bergerak ke arah betul.
Mengikut kategori usia pula, majoriti mereka yang merasakan negara bergerak ke arah yang salah terdiri daripada kelompok dalam lingkungan usia 31-40, 41-50 dan 51-60 tahun.
“Sentimen menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur selepas tempoh panjang yang dipenuhi dengan pandangan negatif, walaupun sentimen negatif masih mendominasi,” menurut kajian itu yang disiarkan di laman web Merdeka Centre pada Isnin.
Merdeka Center bagaimanapun melaporkan kajiannya menunjukkan rating kelulusan Anwar sebagai perdana menteri meningkat sedikit satu peratus berbanding tempoh awal November lalu, di mana 54 peratus responden menyatakan berpuas hati dengan beliau.
Pada masa sama, jumlah mereka tidak puas hati turut menunjukkan peningkatan, iaitu dua peratus berbanding tempoh awal November lalu iaitu 37 peratus. — The Merdeka Times