Kolumnis
Kemanakah hala tuju perundangan Islam di Malaysia?
PERUNDANGAN amat penting dalam sesebuah negara. Ia merupakan punca kuasa kepada pemerintah samada membenarkan sesuatu perkara itu dilakukan atau tidak boleh dilakukan.
Juga untuk menentukan samada sesuatu itu sah atau tidak sah. Ia menyusun dan menyelaraskan seluruh sistem kehidupan manusia.
Apa yang berbeza pada perundangan Islam ia mestilah dirujuk berasas atau berpandukan Al Quran dan Al Sunnah atau “Hukum Syara’”.
Atas kepentingan inilah Islam memberikan kuasa kepada pemerintah sesebuah negara menyusun, menggubal dan menguatkuasakan undang-undang bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran sesebuah negara yang dinamakan undang-undang ta’zir atau “hukum ta’zir” dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan mal atau sivil juga jina’ie atau jenayah.
Perundangan Islam di Malaysia adalah perundangan negara.
“Sebelum kedatangan British undang-undang Islam adalah undang-undang negara di Malaysia. Mazhab yang diikuti ialah Mazhab Syafie” kata Hakim Edmond JC – Shaik Abdul Latif, dll lwn Shaik Elia Bux).
“Undang-Undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi undang-undang tempatan & undang-undang negara” (Kes Ramah lwn Laton – Mah. Rayuan Ngri Melayu Bersekutu –(1927) 6 FMSLR 128).
Hingga kini diperakui undang-undang Islam adalah undang-undang negara sebagaimana ia diperakui Perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan.
Juga kuasa di bawah Perkara 74 Perlembagaan. Walaupun ia dikuatkuasakan di setiap negeri di Malaysia ia adalah merupakan undang-undang tempatan dan negara.
Perlembagaan negara mengawal atau menyelaraskan perundangan Islam di negeri-negeri dari bidangkuasa mal dan jenayah, perkara-perkara yang berkaitan dengan kesalahan dan kadar hukuman. Mengawal perkembangan akidah atau apa-apa doktrin yang merosakan akidah umat Islam dan sebagainya.
Undang-undang Islam adalah “personal laws”
Undang-undang Islam di Malaysia dikategorikan sebagai undang-undang diri (personal law), iaitu undang-undang yang mengawal kehidupan seseorang individu. Ia dikuatkuasakan diperingkat negeri kepada orang Islam.
Perundangan Islam diperuntukkan kepada mahkamah ini bagi tujuan menjamin setiap Muslim patuh dan tidak melanggar perintah Allah s.w.t berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.
Kedudukan istimewa Islam sebagai agama yang paling dominan juga diktiraf melalui Perkara 11 walaupun ia menyebutkan tentang kebebasan beragama.
Ini dapat dilihat dalam Klausa (1) dan (4):
(1) “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Perkara
(4), mengembangkannya,
(4) Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan
Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”
Fasal (4) bertujuan untuk memberi kuasa kepada Negeri untuk membuat undang-undang yang dapat mempertahankan agama Islam dari dipengaruhi oleh ajaran atau
amalan agama-agama lain.
Penyelarasan undang-undang Islam
Perlembagaan Persekutuan memperuntukan Perkara 3 bahawa Malaysia adalah agama Persekutuan. Manakala Perlembagan Negeri atau Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri memperuntukkan Islam adalah agama bagi negeri.
Sultan atau Raja adalah Ketua Agama Negeri. Bagi negeri yang tidak beraja Perlembagaan Persekutuan memperuntukan Yang DiPertuan adalah Ketua Agama bagi negeri-negeri tersebut.Semuanya adalah sama dan selaras.
Dalam Undang-Undang Pentadbiran Islam negeri-negeri memperuntukan Islam atau hukum syara’ adalah mengikut Al Quran dan Al Sunah dikenali sebagai Ahli Sunnah Waljamaah.
Manakala dalam Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri, termasuk Negeri Perlis, mentakrifkan bahawa “Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali.
Keselarasan inilahlah merupakan ruh atau intipati maksud pengawalan atau penyelarasan undang-undang Islam di Malaysia melalui Perlembagaan Persekutuan.
Apa yang mesti dilakukan ialah setiap yang telah diperundangkan”تقنين الاحكام” hendaklah dipatuhi oleh setiap orang tanpa pilihan. Jika perundangan telah menetapkan sesuatu pilihan hukum dalam sesuatu perkara maka hendaklah diikuti. Inilah maksudnya pemerintah telah diberi kuasa untuk membuat undang-undang berasasakan Hukum Syara’.
Institusi Mufti hanya boleh membuat fatwa mengenai sesuatu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan Hukum Syarak.
Manakala hukum yang telah thabit tidak boleh lagi di buat fatwa atau hukum baru. Begitu juga peruntukan undang-undang yang telah dikanunkan mengenai nikah, cerai, ruju’. Berkaitan hadanah, nafkah, hibah dan sebagai tidak boleh lah lagi dibuat fatwa baru. Seperti rujuk dengan lafaz tidak boleh hanya dengan perbuatan. Talak tiga jatuh talak satu tidak dengan talak tiga.
Jika dibuat sebaliknya maka ia akan bercanggah dengan takrifan Hukum Syara’ atau undang-undang tersebut. Ia menjadikan fatwa itu tidak sah dan terbatal. Mufti hanya memberi fatwa bukannya membuat undang-undang.
Saya berpandangan negara kita yang kecil ini dan bilangan umat yang terhad eloklah terus bersatupadu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Jangan teruskan perbalahan soal hukum dan mazhab tanpa merujuk kepada undang-undang yang sedang berkuatkuasa semasa di negeri negeri.
Semua orang Islam melaksanakan Hukum Syara’ mengikut Ahli Sunnah Waljamah. Berpadukan Al Qur’an dan Al Hadis.
Jika ada perkara-perkara baru yang tidak ada disebut secara khusus di dalam Al Quran dan Al Hadis maka kita mengikut ijma’ melalui ijtihad atau qias. Ijma’ dan qias juga adalah merujuk kembali sesuatu perkara tersebut kepada Al Quran dan Al Hadis. — The Merdeka Times
Penulis adalah mantan Ketua Hakim Syarie dan Hakim Rayuan Syarie JKSM, Putrajaya.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.