Agama
Keluar Islam: Wanita dapat kebenaran mulakan semakan kehakiman
- Seorang wanita dari Sarawak dibenarkan untuk memulakan semakan kehakiman, untuk memaksa Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan mengeluarkan namanya daripada Daftar Mualaf.
- Ini bagi membolehkan wanita berusia 27 tahun itu meninggalkan agama Islam dan kembali kepada Kristian selepas hubungannya dengan seorang lelaki Islam yang berjanji untuk berkahwin dengannya tidak menjadi kenyataan.
- Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Supang Lian hari ini sebulat suara membenarkan permohonan wanita itu selaku perayu, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Sept 2023, yang menolak permohonan beliau untuk memulakan semakan kehakiman.
- Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin mendapati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mengenakan beban yang lebih tinggi kepada perayu, menunjukkan bahawa permohonannya bukanlah suatu yang remeh.
KUALA LUMPUR — Seorang wanita dari Sarawak dibenarkan untuk memulakan semakan kehakiman, untuk memaksa Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan mengeluarkan namanya daripada Daftar Mualaf.
Ini bagi membolehkan wanita berusia 27 tahun itu meninggalkan agama Islam dan kembali kepada Kristian selepas hubungannya dengan seorang lelaki Islam yang berjanji untuk berkahwin dengannya tidak menjadi kenyataan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Supang Lian hari ini sebulat suara membenarkan permohonan wanita itu selaku perayu, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Sept 2023, yang menolak permohonan beliau untuk memulakan semakan kehakiman.
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin mendapati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mengenakan beban yang lebih tinggi kepada perayu, menunjukkan bahawa permohonannya bukanlah suatu yang remeh.
“Pada kami, Hakim Mahkamah Tinggi itu ketika menolak permohonan awal, perlu melihat kepada merit hujah yang bertentangan oleh pihak-pihak dan bukannya sekadar berpuas hati bahawa terdapat hujah-hujah serius yang perlu diputuskan pada perbicaraan semakan kehakiman,” kata Hakim Supang dipetik media tempatan di sini hari ini.
Beliau menegaskan kebenaran tidak sepatutnya ditolak hanya berdasarkan fakta bahawa responden pertama, pendaftar muallaf Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tidak mempunyai kewajipan berkaitan perintah mandamus yang dipohon.
“Oleh itu rayuan perayu adalah bermerit dan dibenarkan. Keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan perayu diberi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Supang.
Wanita itu dilaporkan memfailkan permohonan itu pada 20 April 2023 dan menamakan Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan kerajaan sebagai responden.
Dia memohon pengisytiharan bahawa Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memberikan bidang kuasa kepada responden pertama (Pendaftar Mualaf) untuk mengisytiharkan bahawa seseorang itu bukan lagi beragama Islam.
Wanita itu juga memohon supaya namanya dikeluarkan daripada Daftar Mualaf serta-merta dan memohon pengisytiharan bahawa penolakan atau kelewatan responden pertama memutuskan permohonan pemohon dalam surat bertarikh 30 Jan, 20 Feb dan 17 Mac 2023, sebagai tidak rasional dan tidak munasabah.
Dalam afidavit sokongannya, wanita itu dilaporkan berkata dia memeluk Islam dan mendaftar sebagai mualaf pada 18 Ogos 2017 untuk berkahwin dengan seorang lelaki Melayu-Islam, namun hubungan itu berakhir tanpa perkahwinan berlaku.— The Merdeka Times