Terkini
(VIDEO) Serbuan, rampasan jam tangan LGBT “keterlaluan” – Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan jabatan tertentu di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu dan merampas jam tangan Swatch koleksi pelangi ‘Pride’ yang berunsurkan LGBT pada tahun lalu.
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan jabatan tertentu di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu dan merampas jam tangan Swatch koleksi pelangi ‘Pride’ yang berunsurkan LGBT pada tahun lalu.
Perdana Menteri juga menyifatkan tindakan serbuan dan rampasan jam tangan itu sebagai “keterlaluan”.
“Saya tidak bersetuju dengan tindakan itu. Kami telah memberitahu mereka, tiada arahan. Ia keputusan yang diambil oleh jabatan tertentu dan bagi saya tindakan mereka itu keterlaluan,” kata Anwar.
Perkara itu dinyatakan beliau dalam video wawancara Zeteo bersama Mehdi Hasan yang bertanya mengapa kerajaan menyerbu kedai jam tangan Swatch pada tahun lalu dan merampas jam tangan bertemakan LGBT sekiranya semakan pindaan terhadap undang-undang anti LGBTQ bukan keutamaan tampuk pemerintahan Anwar.
Terdahulu, Mehdi berkata Anwar pada 2018 pernah mengkritik undang-undang anti-LGBTQ di Malaysia selain menyifatkannya sebagai “lapuk”.
“Ketika saya bercakap dengan kamu pada 2018, kamu mengkritik undang-undang anti-LGBTQ di Malaysia, undang-undang sama yang menyebabkan kamu dipenjarakan atas tuduhan palsu.
“Kamu menyifatkannya, saya petik, “lapuk,” dan kamu kata ia warisan penjajah British, bukan Islam.
“Kamu beritahu saya bahawa undang-undang itu “perlu disemak dan dipinda,” tetapi sejak menjadi Perdana Menteri, kamu belum melakukannya, mengapa?,” kata Mehdi.
Anwar membenarkan kenyataan Mehdi itu, namun menjawab beliau mempunyai beberapa keutamaan lain.
“Ya, kerana adanya prioriti (keutamaan) lain. Pertamanya, saya mahukan keselamatan negara ini, saya mahu bina kesepakatan, saya mahu fokusnya adalah ekonomi, pendidikan berkualiti, itu bukan prioriti saya, itu prioriti di Eropah,” kata Anwar dalam video itu.
“Jika ia bukan prioriti kamu, mengapa kerajaan jalankan serbuan terhadap Kedai Jam Swatch tahun lalu dan sita jam tangan pelangi Pride?” tanya Mehdi.
“Saya tidak bersetuju,” kata Anwar.
“Kamu tidak bersetuju mengenai apa?” tanya Mehdi untuk penjelasan.
“Saya tidak bersetuju dengan tindakan itu. Kami telah memberitahu mereka, tiada arahan. Ia keputusan yang diambil oleh jabatan tertentu dan bagi saya tindakan mereka itu keterlaluan,” kata Anwar.
Media pada Mei tahun lalu melaporkan KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi ‘Pride’ yang dikaitkan dengan komuniti LGBT.
Serbuan selama dua hari pada 13 dan 14 Mei itu dilakukan di butik Swatch di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah. — The Merdeka Times