Terkini
(VIDEO INTERVIEW) Masyarakat awam tidak jelas tentang al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam RUU Mufti
Majoriti masyarakat Muslim di Ibu negara tidak jelas dan tidak faham berkenaan aliran utama disebut di dalam Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 yang bakal mengkhaskan manhaj (metodologi beragama) akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah hanya kepada al-Asyairah dan al-Maturidiyah.
KUALA LUMPUR — Majoriti masyarakat Muslim di Ibu negara tidak jelas dan tidak faham berkenaan aliran utama disebut di dalam Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 yang bakal mengkhaskan manhaj (metodologi beragama) akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah hanya kepada al-Asyairah dan al-Maturidiyah.
Menerusi tinjauan The Merdeka Times di sekitar Wangsa Maju dan Gombak pada Selasa, majoriti mereka yang ditemui sukar menjawab persoalan mengenai manhaj akidah tetapi dengan mudah mengakui diri mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Peniaga, Mustafa Mat yang berusia dalam lingkungan akhir 60-an berkata, dia tidak biasa dan tidak sedar keperluan menisbahkan dirinya dengan aliran tertentu, namun memadai mengisytiharkan dirinya Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Ahli Sunnah Wal Jamaah, itu sahaja. Pak Cik pun tak dengar pulak as-Syariah? Apa semua tu? Pak Cik tak tahu.
“Pak Cik kekal dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja, Pak Cik tak ada ambil peduli dengan hal itu, Pak Cik tak nak ambil tahu, Tuhan kita satu.
“Jangan banyak kita berpegang ini pegang itu, di akhirat nanti kita ditanya, jawab apa? Satu,” kata Mustafa ketika ditemui di Wangsa Maju di sini, hari ini.
Mustafa yang merendah diri mengakui diri sebagai “orang kampung biasa” berkata, beliau mengikut apa yang diajarkan arwah ibu ayahnya serta ustaz di kampung.
Beliau menegaskan keadaan itu sudah memadai bagi dirinya.
Pelajar universiti, Zarif Aiman yang berusia dalam lingkungan 20-an, mengakui dirinya tidak jelas berkenaan al-Asyairah dan al-Maturidiyah, tetapi mula mendalaminya sejak kebelakangan ini.
Beliau bagaimanapun kurang bersetuju dengan tindakan menyempitkan aliran akidah tertentu bagi Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Bagi saya, saya tidak tahu dengan jelas pasal al-Asyairah dan al-Maturidiyah cumanya bila ada RUU Mufti ni, saya lebih mendalami serba sedikit pasal akidah ni.
“Jadi sebelum ni saya berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah tanpa mengetahui adanya spesifik (aliran) iaitu al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam RUU Mufti tu.
“Lepas saya mendalami RUU Mufti ni serba sedikit, saya mendapati saya kurang bersetuju untuk kita detailkan al-Asyairah dan al-Maturidiyah.
“Saya rasa ia boleh menyempitkan lagi pegangan akidah kita, jadi saya rasa baik ia generalize macam akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, tidak perlu menyempitkan kepada al-Asyairah dan al-Maturidiyah,” katanya.
Sementara itu, ibu dengan dua cahaya mata, Nor Fadhilah Razaman bertanya semula kepada wartawan apakah “Asyairah” apabila diajukan soalan mengenainya.
Suri rumah itu bagaimanapun dengan yakin dan ringkas mengakui dirinya berpegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ketika ditanya wartawan sama ada cenderung berpegang kepada mana-mana pemahaman akidah tertentu seperti al-Asyairah al-Maturidiyah atau Salafiyah. — The Merdeka Times