Kolumnis
Begum, ihsan wanita Malaysia buat wanita Afghanistan
Lima tahun menetap di Mazar E Sharif selepas mengahwini suaminya yang juga warga Afghanistan membuka hati Nabilah Shahrudin untuk melakukan sesuatu untuk kaum hawa di negara bekas perang itu.
Dari wanita untuk wanita. Barangkali itu yang terdetik di hati Nabilah sebelum anak Malaysia itu nekad untuk membuka perniagaan jubah abaya “made in Afghanistan” di bawah jenama “Begum”.
Begum dalam bahasa tempatan bermaksud wanita, menurut Nabilah tanpa menjelaskan ia merujuk bahasa Pashto atau Dari. Namun, apa yang penulis tahu Begum dalam bahasa Urdu lebih mendekati makna “isteri”.
Secara umumnya, Begum juga adalah nama wanita di negara-negara Asia Tengah/Asia Selatan, termasuk di Afghanistan dan Pakistan, sebagaimana Gulbadshah nama kebiasaan bagi lelaki.
“Saya buat clothing line ini (Begum) sebab nak wujudkan peluang pekerjaan untuk wanita-wanita di sini (Afghanistan) supaya mereka boleh menolong keluarga mereka dalam menyara hidup mereka seharian,” kata Nabilah, pengasas jenama Begum, dalam klip video instagram The Merdeka Times diterbitkan hari ini.
Menyusur kelahiran Begum, Nabilah berkata selepas lima tahun di Afghanistan dia mendapati wanita di sini sebenarnya kreatif dan mempunyai kemahiran, namun situasi negara itu tidak memudahkan mereka untuk menyerlah.
“Mereka tiada “port” (tempat) untuk menyerlahkan (kemahiran) diri,” katanya.
Nabilah tidak menjelaskan apa yang beliau maksudkan dengan kesukaran di Afghanistan, namun selaku individu yang pernah menjejakkan kaki beberapa kali ke Afghanistan sejak 2021, penulis beranggapan ia barangkali merujuk kepada situasi semasa ekonomi negara itu yang masih dikenakan sekatan oleh barat.
Selepas tiga tahun kejatuhan republik Islam Afghanistan disokong kuasa asing Amerika Syarikat (AS), tiada lagi negara mengiktiraf Emeriah Islam Afghanistan (EIA) diterajui Taliban, sekali gus meletakkan negara bekas perang yang dihimpit sekatan ekonomi dan politik Barat itu dalam keadaan tertekan.
Perkara itu boleh dibuktikan dengan memetik data Program Makanan Dunia (WFP) yang mengatakan bahawa “satu per tiga penduduk di Afghanistan tidak mempunyai makanan di atas meja”.
Statistik juga menunjukkan lebih 60 peratus daripada 40 juta penduduk Afghanistan (bersamaan 26 juta orang) berada dalam kepompong kemiskinan dan berada di ambang kebuluran.
Lebih menyedihkan majoriti terjejas adalah kelompok wanita dan kanak-kanak ketika golongan lelaki (suami) atau ketua rumah tangga kehilangan pekerjaan dek sekatan ekonomi barat.
Situasi adalah lebih buruk jika ia membabitkan ibu tunggal yang menjadi ketua keluarga kerana peluang pekerjaan bagi wanita agak terhad walaupun kerajaan semasa ada memberikan bantuan kebajikan selain sikap warga Afghanistan yang saling membantu (perkara ini akan penulis kupas dalam penulisan seterusnya inshaAllah).
“Saya mulakan perniagaan ini dengan niat dan harapan saya boleh mengambil lebih wanita di luar sana yang ada kemahiran tetapi tidak ada peluang untuk menjayakan diri sendiri,” kata Nabilah.
Nabilah memulakan Begum sejak dua bulan lalu dan kini beliau menggajikan tiga tukang jahit wanita Afghanistan yang setakat ini menghasilkan lebih 100 abaya dalam enam design unik.
Setiap tukang jahit ini, termasuk seorang ibu dan anak perempuannya, akan dibayar mengikut jumlah pakaian (abaya) yang mereka siapkan sebelum dijual secara eksklusif di Malaysia.
Menurut Nabilah, setiap abaya disiapkan dibayar 200 Afghani bersamaan RM12.
Seseorang itu mungkin merasakan ini jumlah yang kecil, namun penulis tahu yang 200 Afghani adalah jumlah besar di Afghanistan dan ia boleh digunakan untuk membeli 20 keping roti (makanan ruji Afghanistan).
Walaupun Begum baru bertapak dua bulan lalu, ia secara tidak langsung telah membawa perubahan, malah “kebahagiaan” buat salah seorang tukang jahit Nabilah yang baru berusia 17 tahun.
“Kehidupan kami selepas Begum amat bahagia kerana kami dapat bekerja dan dibayar gaji oleh Nabilah.
“Hidup kami berubah dari miskin kepada sedikit senang. Saya bahagia bekerja dengan jenama Begum dan saya harap ia akan berkembang,” kata Hadia, 17, yang tidak bersekolah.
Seorang lagi tukang jahit, Soraya berkata tidak banyak peluang pekerjaan di kawasannya yang dibelenggu kemiskinan, menyebabkan beliau tidak dapat memenuhi keperluan anak-anaknya.
“Saya datang ke sini untuk mencari sesuap nasi dengan harapan boleh keluar dari kemiskinan.
“Kerajaan tidak halang kami dari bekerja tapi peluang kerja memang tipis, sebab itu saya datang bekerja di sini,” kata Soraya menaruh harapan tinggi abaya Begum akan mendapat sambutan rakyat Malaysia.
Dengan ihsan rakyat Malaysia yang mencintai “Begum”, wanita seperti Hadia dan Soraya akan mempunyai masa depan yang lebih terjamin.
Setiap kali merungkai sisi tepi kisah dari Afghanistan, mata penulis akan berkaca kerana ia lebih dari sekadar “soundbyte” atau berita negara perang yang sering dimomokkan dengan “keganasan” dicanang media barat.
Datanglah dan kenali Afghanistan dengan lebih benar dan dekat, kalian pasti akan jatuh cinta kepadanya!
Melihat koleksi abaya Begum di video The Merdeka Times dengan design pelbagai yang kaya dengan motif “Afghan”, ia mempunyai potensi menarik minat wanita-wanita Malaysia.
Apatah lagi jika mereka tahu “Begum” sejujurnya adalah “suara hati” dari wanita untuk wanita.
Apa yang pasti usaha Nabilah patut dipuji dan Begum perlu disokong kerana ia adalah manifestasi “tangan memegang buaian itu mampu menggegarkan dunia” dengan sokongan mereka yang memahami dan sudi. — The Merdeka Times
Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan, penulis & aktivis kemanusiaan, pernah ke Kabul beberapa kali sejak 2021, dan menganggap Afghanistan sebagai ‘cinta kedua’ selepas Palestin.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.