Terkini
Kadar kemasukan pelajar bukan Melayu ke SK kurang daripada lima peratus, ibu bapa elak hantar anak – Teo Kok Seong
Kadar kemasukan pelajar bukan Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) hari ini adalah kurang daripada lima peratus kerana masyarakat Cina mengelak menghantar anak mereka ke SK walaupun SK adalah pentas perpaduan dan merupakan ‘maruah’ sistem pendidikan negara.
KUALA LUMPUR – Kadar kemasukan pelajar bukan Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) hari ini adalah kurang daripada lima peratus kerana masyarakat Cina mengelak menghantar anak mereka ke SK walaupun SK adalah pentas perpaduan dan merupakan ‘maruah’ sistem pendidikan negara.
Keengganan orang bukan Melayu, termasuk kaum Cina, untuk berintegrasi dalam struktur sosial Melayu adalah disebabkan pemimpin bukan Melayu.
Dua perkara itu dinyatakan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong pada sesi Dialog Merdeka: Memahami Sejarah Melalui Kepimpinan anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Rabu.
“Saya boleh berkongsi satu kisah benar tentang bagaimana pemimpin Cina melihat bahasa Melayu.
“Saya pernah menghadiri satu ceramah anjuran Parlimen mengenai sistem pendidikan dan kepentingan Bahasa Melayu, dan seorang menteri bukan Melayu yang telah memegang jawatan selama 22 bulan turut menghadiri ceramah itu,” kata Kok Seong dipetik Sin Chew Daily.
Kok Seong yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, bekas menteri itu dalam sesi soal jawab telah menegaskan bahawa berbanding bahasa Cina dan Inggeris, bahasa Melayu hampir tiada nilai ekonomi.
“Bahasa Malaysia (bahasa Melayu) adalah bahasa rasmi negara kita dan ia juga merupakan pengiktirafan kita terhadap kewarganegaraan dan budaya Malaysia,” kata Kok Seong.
Kok Seong adalah tokoh akademik yang tetap lantang memperjuangkan bahasa kebangsaan yang perlu dikuasai semua rakyat Malaysia dalam memupuk dan memperkasakan perpaduan kaum. – The Merdeka Times