Terkini
Aktivis bawa sepanduk ‘Tolak Perjanjian BlackRock’ ditahan di Himpunan Pembebasan Palestin
Dua aktivis pro-Palestin ditahan di Himpunan Pembebasan Palestin anjuran kerajaan malam tadi kerana mempamerkan sepanduk menyeru Putrajaya membatalkan perjanjian membawa masuk firma milik dana pelaburan kontroversi terkait Israel, BlackRock sebagai rakan kongsi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
- M Mythreyar berdiri memegang plakad bertulis, “Tolak Perjanjian BlackRock”, bersama seorang lagi aktivis wanita, namun mereka kemudiannya ditahan pihak polis di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam tadi.
- Mythreyar yang sebelum ini pernah mogok lapar selama 200 jam bagi membantah penjualan saham MAHB kepada BlackRock, berkata pihak polis memberitahu beliau bahawa perkataan “BlackRock” pada sepanduknya adalah “sensitif”.
- “Kami tak laung, kami tak bising dan kami tak buat apa-apa provokasi. Kami pegang plakad, kemudian kami keluar. (Kemudian) pengawal keselamatan dan polis tarik plakad kami itu,” kata Mythreyar dipetik MalaysiaNow.
- “Saya cuma nak tanya, pegang plakad dan protes senyap di Malaysia pun tak boleh ke?
- “Kami dikelilingi polis, dianggap macam penjenayah. Apa salah kami? Adakah hak bersuara sudah tiada lagi di Malaysia? Hak untuk menunjukkan rasa ketidakpuasan dalam isu BlackRock ini salah?,” kata Mythreyar.
KUALA LUMPUR — Dua aktivis pro-Palestin ditahan di Himpunan Pembebasan Palestin anjuran kerajaan malam tadi kerana mempamerkan sepanduk menyeru Putrajaya membatalkan perjanjian membawa masuk firma milik dana pelaburan kontroversi terkait Israel, BlackRock sebagai rakan kongsi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
MalaysiaNow melaporkan M Mythreyar berdiri memegang plakad bertulis, “Tolak Perjanjian BlackRock” bersama seorang lagi aktivis wanita, namun mereka kemudiannya ditahan pihak polis di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Mythreyar yang sebelum ini pernah mogok lapar selama 200 jam bagi membantah penjualan saham MAHB kepada BlackRock, berkata pihak polis memberitahu beliau bahawa perkataan “BlackRock” pada sepanduknya adalah “sensitif”.
“Kami tak laung, kami tak bising dan kami tak buat apa-apa provokasi. Kami pegang plakad, kemudian kami keluar. (Kemudian) pengawal keselamatan dan polis tarik plakad kami itu,” katanya.
Mythreyar berkata mereka kemudiannya dibawa ke pondok polis bergerak berdekatan, di mana mereka disoal mengenai sepanduk yang dipamerkan dalam perhimpunan tersebut.
Katanya, polis berkata perkataan BlackRock adalah dilarang dibawa masuk ke dalam himpunan itu.
“Saya cuma nak tanya, pegang plakad dan protes senyap di Malaysia pun tak boleh ke?
“Kami dikelilingi polis, dianggap macam penjenayah. Apa salah kami? Adakah hak bersuara sudah tiada lagi di Malaysia? Hak untuk menunjukkan rasa ketidakpuasan dalam isu BlackRock ini salah?
“Saya pun tertanya kenapa perkataan itu sangat sensitif untuk pihak berkuasa?” katanya.
Sementara itu, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) dilaporkan menyelar tindakan polis menahan Mythreyar dan rakannya.
Jurucakap SSP yang juga bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata sokongan kepada Palestin boleh dilakukan dalam pelbagai cara, terutama dengan memboikot syarikat-milik zionis dan yang ada kaitan dengan Israel.
“Sepatutnya kerajaan mendengar suara masyarakat yang mahukan tindakan yang lebih berkesan,” katanya dipetik MalaysiaNow.
Tian Chua menyifatkan sekatan ekonomi sangat memberi kesan kepada rejim zionis Israel dan sekutunya.
Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Madani berdepan kritikan segelintir pihak, termasuk Ahli Parlimen pembangkang, yang menentang penyertaan BlackRock menerusi Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah firma yang bakal diambil alih syarikat pro-zionis itu, dalam konsortium bersama Khazanah dan KWSP bagi meningkatkan pegangan dalam MAHB.
Kritikan dan desakan supaya Kerajaan Madani membatalkan kerjasama itu difahamkan bermula pada Mei lalu dan ia kembali hangat susulan kematian pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh pada minggu lalu.
Terbaharu, Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim berkata Malaysia wajib menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti berkait rapat rejim zionis Israel seperti BlackRock.
Beliau berkata ia sebagai simbol solidariti untuk ribuan rakyat dan pejuang-pejuang Palestin yang terkorban dibom dan diserang rejim zinois Israel. — The Merdeka Times