Connect with us

Terkini

(VIDEO) ‘Kalau ada hati perasaan tolong ambush bilik 4-10’ surat layang kes Zulfarhan kembali dimuat naik penulis

“Kalau ada hati perasaan, ada sifat perikemanusiaan, saya minta sangat-sangat pergi ambush bilik 4-10, Blok Satria (depan masjid). Dalam tu ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!!’ – Hamba Allah”.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Saksi pendakwaan ke-23, Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi.
  • Itu antara petikan surat layang pertama dihantar saksi pendakwaan ke-23, Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi dalam kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tujuh tahun lalu untuk memaklumkan kepada pihak atasan UPNM bahawa Zulfarhan didera rakan-rakannya.
  • Ketika ini surat layang pertama itu kembali tular dan mendapat perhatian orang ramai susulan enam suspek utama kes pembunuhan Allahyarham Zulfarhan akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dalam keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Selasa.
  • Muhammad Aiman hari ini menerusi hantaran di Instagram berkata penularan semula surat layang itu membuatkan beliau kembali dapat melihatnya memandangkan kali terakhir dia melihat surat berkenaan ketika meletakkannya di pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera pada 23 Mei 2017.
  • “Setelah hampir 8 tahun, ini first time saya tengok semula surat ni. Lepas saya letak tu, tak pernah tengok dah sampai sekarang. Ni tak tahu la macam mana boleh sampai ke public. Apa-apa pun, Al-fatihah buat keluarga arwah.
  • “Kita manusia hanya mampu berikhtiar dan berusaha, Allah penentu segalanya,” katanya dalam hantaran di Instagram di sini hari ini yang turut berkongsi gambar surat layang pertama itu.

KUALA LUMPUR — “Kalau ada hati perasaan, ada sifat perikemanusiaan, saya minta sangat-sangat pergi ambush bilik 4-10, Blok Satria (depan masjid). Dalam tu ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!!’ – Hamba Allah”.

Itu antara petikan surat layang pertama dihantar saksi pendakwaan ke-23, Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi dalam kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tujuh tahun lalu untuk memaklumkan kepada pihak atasan UPNM bahawa Zulfarhan didera rakan-rakannya.

Muhammad Aiman dilaporkan memberitahu Mahkamah Tinggi pada 2018 bahawa dia menulis surat tersebut setelah melihat pegawai kadet laut itu terbaring dengan seluruh badannya menggelembung dipenuhi tompok kehitaman dan darah pada kulitnya di bilik 4-10 asrama penginapan UPNM pada 6 petang, 22 Mei 2017.

Kegagalan surat layang pertama, menyebabkan dia dan Muhammad Akmal Akif Alias sekali lagi bersepakat menulis surat layang kedua yang tertera ayat, “Sila cari pegawai kadet laut Zulfarhan Osman”, namun surat itu ditemui penuntut lain.

Ketika ini surat layang pertama itu kembali tular dan mendapat perhatian orang ramai susulan enam suspek utama kes pembunuhan Allahyarham Zulfarhan akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dalam keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Selasa.

Foto: Tangkap layar komen netizen di Instagram Muhammad Aiman.

Berikutan itu juga netizen dilihat mulai memenuhi ruangan komen di Instagram seorang individu dipercayai bertanggungjawab menulis dua surat layang tersebut dengan ucapan terima kasih.

Malah, ada yang mengatakan sekiranya surat layang ditulis itu dipandang serius oleh pihak berkaitan pasti Allahyarham Zulfarhan akan bersama Muhammad Aiman.

“Tq (terima kasih) tuan 🫡… kalau surat tuan dipandang serius pasti arwah Zulfarhan juga sedang bersama tuan seperti hari ini,” kata netizen di ruangan komen Instagram @aufa_aiman.

The real perwira negara.. bukan sahaja bergadai nyawa demi negara tapi memiliki sifat kemanusiaan sesama insan.. Terima kasih orang baik!! 🫡,” tulis netizen.

Foto: Tangkap layar komen netizen di Instagram Muhammad Aiman.

Tinjauan The Merdeka Times (TMT) hari ini mendapati individu terbabit telah memuat naik satu hantaran mengesahkan bahawa beliau adalah Muhammad Aiman yang menulis surat layang tersebut.

Muhammad Aiman berkata penularan semula surat layang itu membuatkan beliau kembali dapat melihatnya memandangkan kali terakhir dia melihat surat berkenaan ketika meletakkannya di pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera pada 23 Mei 2017.

“Setelah hampir 8 tahun, ini first time saya tengok semula surat ni. Lepas saya letak tu, tak pernah tengok dah sampai sekarang. Ni tak tahu la macam mana boleh sampai ke public. Apa-apa pun, Al-fatihah buat keluarga arwah.

“Kita manusia hanya mampu berikhtiar dan berusaha, Allah penentu segalanya,” katanya dalam hantaran di Instagram di sini hari ini yang turut berkongsi gambar surat layang pertama itu.

Foto: Tangkap layar hantaran Muhammad Aiman di Instagram hari ini.

Tinjauan TMT juga menemui satu hantaran Muhammad Aiman memuat naik gambar-gambarnya bersama Muhammad Akmal bertarikh 31 Julai 2019 iaitu tarikh di mana rakannya itu dibebaskan daripada pertuduhan terlibat kes kematian Zulfarhan selepas melalui dua tahun penuh getir sebagai ‘orang kena tuduh’ (OKT).

Muhammad Aiman menyatakan kesyukuran sahabatnya dibebaskan dan menyifatkan 31 Julai sebagai tanda keadilan berakhir.

Buddy, saya tahu perjalanan 2 tahun itu bukanlah satu perjalanan yang mudah. Ia penuh dengan kenangan. Percayalah, jatuh dan bangunnya, akan sentiasa memberi pengajaran kepada kita. 

“Baik dan buruk, akan membawa kita lebih tinggi. Biar orang menghukum. Selagi kita melakukan apa yang betul, kita akan baik-baik saja.

“Akhirnya, ia pelangi paling terang selepas ribut lebat bagi rakan terbaik saya. 

“Nikmati perjalanan kamu yang seterusnya. Kamu akan menjadi hebat seperti selalu. Saya mempercayainya. Jika ada apa-apa, saya ada untuk kamu. Sentiasa bro 🤙🏻🤙🏻🤙🏻,” tulisnya dalam hantaran berbahasa Inggeris.

Foto: Tangkap layar hantaran Muhammad Aiman di Instagram bersama Muhammad Akmal.

Muhammad Akmal dalam wawancara bersama portal mStar pada 5 Ogos 2019 menyatakan dia benar-benar ingin memohon maaf kepada Zulfarhan kerana tidak dapat menyelamatkan pemuda itu.

“Seandainya arwah masih hidup saya nak sangat minta maaf dekat dia sebab tak dapat nak selamatkan dia.

“Tapi saya sentiasa doakan dia. Kalau kita doakan dia kat sana, saya percaya dia akan bantu kita dekat sini, insya-Allah,” kata Muhammad Akmal.

Pada Selasa, BERNAMA melaporkan Mahkamah Rayuan menjatuhkan  hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali kerana membunuh Zulfarhan.

Sementara itu, mahkamah turut menggantikan hukuman penjara tiga tahun kepada empat tahun, terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kesemua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *