Agama
Asyarah Mubasyarah: Kebijaksanaan pemerintah Uthman Ibn ‘Affan selamatkan ummah
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr 15:9)
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr 15:9)
Jika ditanya apa yang Muslim boleh banggakan dengan keislamannya, maka berbanggalah dengan kredibiliti kitab al-Quran yang diyakini tidak mengalami sebarang perubahan walaupun satu ayat hatta satu huruf sejak awal penurunannya.
Berbeza dengan kitab-kitab agama lain yang pelbagai versi, al-Quran adalah satu-satunya kitab agama yang hanya memiliki satu versi dan satu rujukan selain masih terpelihara bahasa asalnya sehingga kini.
Semua ini adalah hasil kebijaksanaan Khalifah Islam yang ketiga, Saidina Uthman Ibn Affan RA yang berpandangan ke hadapan dalam menyelamatkan kesucian al-Quran dan umat Islam.
Bayangkan sekiranya kitab suci agama mempunyai pelbagai versi dan rujukan, ini pasti akan membuatkan penganut agama sendiri terkeliru dengan ‘Versi mana satukah yang benar mahupun salah’ atau ‘Versi apakah yang perlu diikuti’.
Akhirnya, masing-masing akan bertelagah dan berselisih untuk memenangkan versi masing-masing.
Situasi ini telahpun berlaku dalam kalangan umat Islam sendiri ketika zaman Uthman Ibn Affan RA yang hanya beberapa tahun selepas kewafatan baginda Rasulullah SAW.
Mereka berkata: ‘Bacaanku lebih baik daripada bacaanmu’. Mereka sanggup berbalah dan berbunuhan asalkan dapat memenangkan mazhab bacaan mereka dan menjatuhkan mazhab orang lain.
Hikmah di sebaliknya
Ini kerana situasi umat Islam pada waktu itu mula berkembang dengan ramai yang memeluk Islam dari kalangan bukan Arab beserta keadaan isi-isi al-Quran yang masih bertaburan di merata-rata tempat.
Mereka hanya bergantung kepada periwayatan para sahabat mengenai bacaan al-Quran yang tiba kepada mereka sahaja.
Ditambah lagi, dengan pengetahuan bahasa Arab mereka yang terhad dan keilmuan bahasa Arab yang masih belum berkembang sepenuhnya pada ketika itu, di mana satu huruf mahupun simbol sahaja boleh mewakili beberapa huruf.
Ini menyebabkan mereka membaca dan menyalin isi al-Quran mengikut apa sahaja salinan yang mereka ada dengan pelbagai variasi.
Sudah pasti, manusia berbuat kesilapan. Apabila tiba generasi keenam, ketujuh, kelapan yang membuat salinan, kesilapan pasti akan berlaku seperti pelbagai variasi salinan dan kesalahan ejaan.
Apatah lagi, apabila individu yang menyalin salinan itu tidak bertutur dalam bahasa asal, malah tidak bersama menyaksikan dengan Nabi Allah SAW semasa penurunan ayat-ayat Allah, pasti akan berlaku manipulasi dan ketidakjujuran.
“Wahai Amirul Mukminin! Selamatkanlah umat Islam sebelum mereka berselisih dalam bacaan al-Quran, seperti perselisihan yang ada dalam agama Yahudi dan Nasrani,” pinta Hudzaifah Ibn Yaman kepada Uthman RA setelah menyaksikan kekacauan dan perselisihan berpunca daripada pelbagai versi bacaan al-Quran.
Namun, inilah hikmah ianya terjadi ketika zaman Uthman RA, di mana kebanyakan para sahabat yang bersama dengan baginda Rasulullah SAW masih lagi hidup bernyawa yang dapat membantu memelihara kesucian setiap bait suci ayat-ayat Allah daripada dicerobohi.
Uthman, Sang pemerintah yang berpandangan jauh
Sejurus mendengar permintaan Hudzaifah ibn Yaman, Khalifah Islam yang ketiga itu lantas memerintahkan untuk mengumpulkan dan menyeragamkan al-Quran agar tidak berlaku lagi perbalahan dan perselisihan.
Langkah pertama, merujuk dan menyalin mushaf daripada lembaran suhuf yang berada dalam simpanan Hafsah, puteri Umar Al-Khattab dan isteri Rasulullah SAW.
Uthman RA lalu meminta Hafsah, “Kirimkanlah mushaf kepada kami. Kami akan menyalinnya dalam lembaran sebelum mengembalikannya kepadamu”. Hafsah mengirimkan mushaf tersebut kepada Uthman RA.
Suhuf dalam jagaan Hafsah itu merupakan satu-satunya mushaf al-Quran yang dikumpulkan ketika zaman Khalifah Islam yang pertama, Abu Bakar As-Siddiq RA dan menjadi rujukan asal bagi Mushaf Uthmani.
Langkah kedua, Uthman RA membentuk satu jawatankuasa penulisan al-Quran yang diketuai oleh penulis wahyu baginda Rasulullah SAW, Zaid Ibn Thabit RA dan dibantu oleh beberapa orang anggota lain.
Ia terdiri daripada Abdullah Ibn Zubair, Said bin Al-’As dan Abdul Rahman bin al-Harith bin Hisyam RA yang ditugaskan menyalin mengikut salinan yang diambil daripada Hafsah.
Jawatankuasa ini diberi tanggungjawab untuk menyusun mushaf yang seragam dan selaras berdasarkan versi yang disepakati semua sahabat Nabi SAW yang dipercayai.
Langkah ketiga, Uthman RA meletakkan panduan bahawa asas rujukan dalam penulisan al-Quran ini hendaklah berdasarkan bacaan Al-Qurra’.
Jika terdapat perbezaan pada bacaan, maka kena menyelaraskan dan menyeragamkan bacaan mengikut bahasa orang-orang Quraisy kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Quraisy.
Uthman berkata kepada mereka, “Jika kalian berbeza pendapat dengan Zaid ibn Thabit, maka tulislah al-Quran dengan dialek Quraisy. Sebab al-Qur’an diturunkan dengan bahasa mereka”.
Jadi, jawatankuasa itu telah menyusun dan menyalin sebanyak enam mushaf al-Qur’an. Sebuah mushaf disimpan sebagai kegunaan Saidina Uthman RA sendiri yang dinamakan ‘Mushaf al-Imam’.
Langkah keempat, Uthman RA mengedarkan lima mushaf selebihnya kepada lima wilayah iaitu Mekah, Syam, Basrah, Kufah dan Madinah berserta seorang qari untuk mengajar.
Mushaf tersebut dijadikan rujukan tunggal bagi penduduk di wilayah-wilayah berkenaan.
Langkah terakhir, Uthman RA memerintahkan kesemua salinan yang ditulis sebelum ini dikumpulkan untuk dibakar atau dilupuskan.
Barangsiapa yang ingin menyalin isi al-Quran, hendaklah menyalin daripada rujukan asal yang utama sahaja, tiada lagi salinan-salinan lain yang dibenarkan.
Kesimpulan
Ramai yang beranggapan perintah Uthman RA untuk membakar salinan al-Quran itu seolah-olah tidak menghormati dan menghapus bukti.
Sedangkan dalam Islam, Muslim tidak dibenarkan membuang ayat-ayat Allah dalam tong sampah. Sebaliknya, ia perlu dibakar ataupun ditanam.
Dan pula pada ketika itu, para sahabat dan umat Islam turut bersetuju dengan perintah Uthman RA tanpa sebarang bantahan.
“Sekiranya Uthman tidak melakukan yang demikian itu maka akulah yang akan melakukannya”, kata Saidina Ali bin Abi Talib.
Keputusan Uthman Ibn Affan RA membakar sejumlah mushaf al-Quran adalah keputusan yang bijak dan berani demi menyelamatkan ummah.
Bayangkan sekiranya tidak ditempuh cara itu, maka sudah tentu akan menimbulkan kontroversi bahkan mungkin muncul fitnah besar dalam kalangan umat Islam.
Tindakan itu bukan sahaja menyelamatkan umat Islam daripada perpecahan tetapi juga memastikan al-Quran kekal dalam bentuk asalnya sehingga ke hari ini.
Dengan kebijaksanaan dan kepemimpinan lelaki ketiga yang dijamin syurga Allah ini, umat Islam dapat menikmati keamanan dan keharmonian dalam ibadah mereka, berpegang teguh kepada satu sumber wahyu yang tidak berubah. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.