Terkini
11 PIBG SMJK, SMC di Pulau Pinang bantah pelaksanaan satu kelas guna BM sebagai bahasa pengantar
Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang membantah keras pelaksanaan paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
- Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang membantah keras pelaksanaan paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
- Sekolah separuh kerajaan jenis Cina terbabit mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.
- Kementerian Pendidikan digesa mendengarkan bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal Program Dwibahasa (DLP) dalam Sains dan Matematik.
- “Kami, wakil Lembaga Sekolah dan 11 PIBG sekolah di Pulau Pinang, ingin menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap pelaksanaan paksa sekurang-kurangnya satu kelas bukan DLP bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam semua SMJK dan SMC di Pulau Pinang.
- “Ia menyebabkan percanggahan besar di dalam kalangan ibu bapa yang menentang keras dasar itu. Ia juga menimbulkan masalah yang tidak perlu kepada pentadbiran sekolah.
- “Akibatnya, ia menimbulkan kekeliruan dan ketidakseimbangan psikologi dalam kalangan pelajar,” kata Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang, Datuk Seri Koay Hean Eng yang mewakili 11 sekolah berkenaan.
- “Ibu bapa, yang anak mereka berada di dalam kelas, melihat ini sebagai satu bentuk hukuman paksa ke atas anak mereka dan tidak berpuas hati dengan keadaan itu,” kata Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Perempuan Cina Pulau Pinang, Dr Goh Huck Keen dipetik Harian Metro hari ini.
KUALA LUMPUR — Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang membantah keras pelaksanaan paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Sekolah separuh kerajaan jenis Cina terbabit mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.
Mereka juga menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mendengarkan bantahan dikemukakan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal Program Dwibahasa (DLP) dalam Sains dan Matematik.
Kedua-dua mata pelajaran itu ketika ini diajarkan dalam Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.
Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang, Datuk Seri Koay Hean Eng yang mewakili 11 sekolah berkenaan berkata, surat Jabatan Pendidikan Negeri bertarikh 15 April sudah dihantar kepada pengetua 36 Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan 52 SMJK serta SMK.
Beliau berkata surat itu secara rasmi mengumumkan salah satu arahan kementerian adalah menguatkuasakan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua SMJK mulai tahun ini selain kelas tersebut juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya 20 pelajar.
“Kami, wakil Lembaga Sekolah dan 11 PIBG sekolah di Pulau Pinang, ingin menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap pelaksanaan paksa sekurang-kurangnya satu kelas bukan DLP bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam semua SMJK dan SMC di Pulau Pinang.
“Ia menyebabkan percanggahan besar di dalam kalangan ibu bapa yang menentang keras dasar itu. Ia juga menimbulkan masalah yang tidak perlu kepada pentadbiran sekolah.
“Akibatnya, ia menimbulkan kekeliruan dan ketidakseimbangan psikologi dalam kalangan pelajar.
“Dasar ini sama sekali tidak mengendahkan kehendak ibu bapa dan bertentangan hasrat asal DLP, yang sepatutnya memperkukuh dan melengkapkan pelajar dengan lebih baik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dan Pendidikan Teknikal dan Latihan (TVET) untuk meneruskan matlamat ‘pelan induk industri baharu 2030,” katanya dipetik Harian Metro hari ini.
Hean Eng berkata DLP dalam bidang Sains dan Matematik bukan hanya dapat memastikan kesinambungan pelajar antara pendidikan menengah dan pengajian lanjutan di kolej dan universiti, malah meningkatkan daya saing pelajar di peringkat antarabangsa.
“Sekiranya hasrat kementerian untuk meningkatkan penguasaan murid dalam Bahasa Melayu, maka kementerian harus lebih berusaha dalam mereka bentuk semula sukatan pelajaran Bahasa Melayu dan mengkaji semula kaedah pengajarannya daripada menggunakannya (Bahasa Melayu) sebagai medium pengajaran Sains dan Matematik malah mungkin memberi kesan buruk kepada pelajar yang sudah ‘lemah’ dalam Bahasa Melayu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Perempuan Cina Pulau Pinang, Dr Goh Huck Keen memberitahu pihaknya sudah memulakan kelas tahun ini, namun ibu bapa keberatan membenarkan anak mereka belajar di dalam kelas tersebut.
Huck Keen menjelaskan pelajar untuk kelas berkenaan dipilih berdasarkan keputusan darjah enam mereka.
“Ibu bapa, yang anak mereka berada di dalam kelas, melihat ini sebagai satu bentuk hukuman paksa ke atas anak mereka dan tidak berpuas hati dengan keadaan itu.
“Mereka juga secara berterusan membangkitkan perkara ini dengan pihak pentadbir sekolah,” katanya.
Untuk rekod, DLP atau Dual Language Programme merupakan program yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran Sains dan Matematik yang ditetapkan KPM.
Program itu dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). — The Merdeka Times